Kelmarin, N. Thanabalan memohon bantuan orang ramai untuk mencari keretanya yang dilaporkan hilang ketika menghadiri sambutan Thaipusam.

KUALA LUMPUR – Penyerang skuad Malaysia Bawah 23 Tahun, N. Thanabalan akhirnya boleh menarik nafas lega apabila kereta jenis Iswara miliknya sudah dijumpai awal pagi tadi.

Berita itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat yang  menjelaskan kereta berkenaan ditemui sekitar jam 3 pagi selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Difahamkan, kereta beliau ditemui oleh pihak polis Selangor di sebuah stesen minyak di Ampang.

“Pada masa ini kita sedang mengumpulkan segala maklumat bagi menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenalpasti suspek yang terbabit.

“Siasatan pada masa ini sedang dilakukan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak,” katanya seperti yang dilaporkan oleh BHOnline.

Kelmarin, Thanabalan memohon bantuan orang ramai untuk mencari keretanya yang dilaporkan hilang ketika menghadiri sambutan Thaipusam.

Menurut laman facebook miliknya, difahamkan kereta jenis Proton Iswara itu dengan nombor pendaftaran TQ 5198 didapati hilang pada pukul 5 pagi berdekatan dengan Batu Caves.

Thanabalan yang menaiki kereta itu bersama keluarganya dari Senawang, kemudian membuat laporan polis di IPD Gombak.

Kejadian kecurian kereta pemain bola sepak tempatan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Selain Thanabalan, pemain tengah pasukan Kedah, Ariff Farhan turut memuat naik satu kenyataan di laman media sosial Facebook peribadi beliau untuk memaklumkan kenderaan kesayangannya telah hilang.

Pemain yang berusia 21 tahun itu menggunakan kenderaan jenis Honda Civic Type R, berwarna putih, dengan nombor pendaftaran WA 5494 N dilaporkan hilang dari kawasan parkir di sekitar Perkarangan Astaka Utama, Stadium Darul Aman.

Perkara tersebut hanya disedari setelah beliau selesai menjalani sesi latihan bersama skuad Kedah.

Tatkala setiap pemain dan pasukan lain sedang sibuk melakukan persiapan terakhir untuk sepak mula kempen baharu Liga Super, kehilangan kereta pemain tersebut akan menyebabkan fokus beliau agak terjejas. – MalaysiaGazette