Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis beramah mesra dengan salah seorang anak pelarian pada Program Memperkasakan Kanak-Kanak Pelarian di Sri Satria, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 02 FEBRUARI 2018.

PUTRAJAYA – Program Memperkasakan Pelarian Kanak-Kanak – Anak Pintar diharap dapat memberi ilmu pengetahuan kepada kanak-kanak pelarian Palestin dan Syria di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk SeriĀ  Ahmad Zahid Hamidi berkata, program itu dirangka dapat meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran sosial serta praktikal dalam kalangan kanak-kanak itu.

Beliau menjelaskan, ini kerana agama Islam amatĀ  menekankan ilmu pengetahuan dan mementingkan pembelajaran.

“Al-Quran dan hadis penuh dengan ayat-ayat yang menyuruh manusia untuk menggunakan fikiran mereka merenung, berfikir dan menimba ilmu pengetahuan bagi manfaat masyarakat.

“Kepentingan pendidikan juga ditekankan berulang- kali dalam al-Quran dan Hadis yang penuh sumber dalam membimbing umat Islam.

“Islam juga mengajar manusia apabila sesuatu pengetahuan itu adalah terhad, mereka perlu sentiasa meminta kepada Allah SWT dalam usaha menambah ilmu,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada majlis pelancaran Program Memperkasakan Kanak-kanak Pelarian di Sri Satria di sini malam ini.

Program tersebut anjuran Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Malaysia (MAHAR) dan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, umat Islam bukan sahaja perlu berterusan mencari ilmu pengetahuan tetapi mempraktikan apa yang dipelajari.

Jika tidak, katanya, ilmu yang diperoleh itu akan menjadi sia-sia.

“Buat saudara-saudara saya dari Palestin, Syria dan negara Islam lain, saya ingin tekankan bahawa pendidikan perlu diutamakan sebagai pelaburan penting untuk ummah pada masa akan datang.

“Ini bagi meningkatkan kesejahteraan, kemahiran hidup dan perkembangan holistik anak-anak kita dan memajukan matlamat dan aspirasi masyarakat kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia berharap dan berdoa agar konflik di Syria akan berakhir tidak lama lagi.

Jelasnya, walaupun masa adalah satu-satunya faktor dan di samping usaha oleh beberapa negara yang bersangkutan berusaha untuk menamatkannya, semua terletak di tangan Allah.

“Pada masa sama, Malaysia akan terus menyuarakan pandangan bahawa konflik itu dapat diselesaikan dan saudara-saudara kita iaitu para pelarian Syria di seluruh dunia boleh pulang dengan selamat ke tanah air tidak lama lagi.

“Kerajaan Malaysia juga komited akan memberikan bantuan dan sumbangan kepada pelarian Syria yang berhijrah ke Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette