Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya mensasarkan ‘risiko sifar’ daripada sebarang insiden yang mengancam keselamatan khususnya delegasi dari luar negara ke negara ini.
“Kita tidak pernah akan mengambil mudah sebarang penganjuran persidangan peringkat antarabangsa di mana tuan rumahnya adalah Malaysia.
“Sebarang risiko mesti disifarkan. Oleh yang demikian, kita telah melaksanakan beberapa latihan amali seperti ini (anti keganasan).
“Kali terakhir semasa Sukan Sea di mana kita lakukan latihan (keselamatan) sebenar,” katanya selepas membuat tinjauan kesiapsiagaan Latihan Amal Anti Keganasan sempena Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-9 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Forum Bandar Dunia anjuran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal diadakan pada 7 hingga 13 Februari ini.
Malaysia terpilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran forum kali ke-9 itu yang turut dianjurkan bersama United Nations Human Settlements Programme (UN-Habitat).
Ahmad Zahid selaku Menteri Dalam Negeri juga berkata, lebih 2,700 anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan menjaga keselamatan sepanjang tempoh forum itu.

“Terima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengkoordinasikan latihan amali bersama-sama PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjadi tenaga peneraju,” jelasnya.
Ditanya tentang kawalan keselamatan delegasi dari luar negara di lapangan terbang negara, Ahmad Zahid berkata pihaknya akan memastikan kehadiran 12,000 peserta ini dikawal rapi.
“Semua (dikawal rapi) kita telah menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dilakukan di dalam persidangan antarabangsa terdahulu dari ketibaan hingga berada di destinasi hingga tempat penginapan,” ujarnya.
Katanya lagi, lebih 25,000 peserta akan mengambil bahagian dalam forum antarabangsa itu, yang mana 50 peratus daripadanya merupakan delegasi dari luar negara.
“Kita mahu mencapai matlamat sifar kejadian, maka penglibatan semua pihak ini cukup penting.
“Saya mendoakan supaya tiada sebarang kejadian dan kesiapsiagaan ini merupakan satu usaha untuk kita menentukan bahawa keamanan dapat dipertingkatkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.
















