Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) bersama Ahli Parlimen Titiwangsa merangkap Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyampaikan sumbangan kepada rakyat pada Majlis Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Titiwangsa di Taman Maluri, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 03 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Pembangkang sebenarnya takut sehingga terpaksa mereka-reka cerita mengatakan saya tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti, jelas Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menteri Wilayah Persekutuan itu menggesa orang ramai tidak terpengaruh dengan desas-desus yang dijaja pembangkang kerana mereka sebenarnya sudah tersepit tidak ada isu sehingga terpaksa membuat cerita palsu.

“Macam-macam cerita nak dekat pilihan raya ini, ada yang kata saya tak bertanding lagi dah, ada yang kata saya nak jadi gabenor, macam-macamlah.

“Ini cerita-cerita yang direka untuk menidakkan atau pun mereka takut kalau Tengku Adnan tanding di Putrajaya parti lain tidak boleh menang,” kata beliau semasa berucap di majlis Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Titiwangsa di Taman Maluri hari ini.

Bagaimanapun, Tengku Adnan menjelaskan, soal bertanding atau tidak bergantung kepada ketentuan Allah dalam menentukan siapa yang tercalon atau pun tidak.

“Ini soal bertanding atau tidak ini terserah kepada Allah dan juga Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) kita,” katanya lagi.

Mengenai khabar angin kemungkinan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan bertanding di Putrajaya, Tengku Adnan sedia berdepan dengan bekas perdana menteri itu.

“Jadi, jika beliau bertanding (di Putrajaya) saya akan lawan beliau, ok,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya dan Setiausaha Agung UMNO itu.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, dibawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, rakyat berbilang kaum dapat menikmati pelbagai kemudahan dan kemakmuran hasil daripada pemerintahan selama 60 tahun lebih.

“Selama 60 tahun kerajaan ini telah memerintah negara ini, yang pertama kerajaan ini sudah beri kepada kita adalah keselamatan, kedua kerajaan ini beri kita keselesaan dan yang ketiga beri kita peluang, dari segi peluang mencari nafkah, peluang untuk anak-anak ke sekolah, peluang untuk kita beriadah, peluang untuk kita bermesra antara satu sama lain.

“Inilah kerajaan yang kita pilih selama 60 tahun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette