DAMSYIK – Pesawat-pesawat tentera Rusia menyasarkan kawasan pesawat pejuangnya, Su-25 ditembak jatuh di wilayah Idlib, Syria sebagai kawasan serangan, kata Kementerian Pertahanan Rusia.

Pasukan tentera itu melancarkan ‘serangan bersenjata yang tepat secara besar besaran… di kawasan yang dikuasai kumpulan Al-Nusra’, kata kenyataan kementerian tersebut, lapor RT.

Semalam, Moscow mengesahkan sebuah pesawat Su-25 miliknya terhempas di wilayah Idlib, kemungkinan ditembak jatuh oleh Sistem Pertahanan Udara Mudah Alih (Manpad).

Juruterbang pesawat terbabit berjaya menyelamatkan diri dalam insiden tersebut namun dibunuh militan selepas itu, kata kementerian tersebut.

Kumpulan ekstrimis, Tahrir al-Sham mengaku bertanggungjawab menembak jatuh pesawat pejuang Rusia itu, menurut Reuters. – Agensi