Dua pemuda Mutalib Uthman (kiri) dan Radzi Tajuddin (kanan) di sebalik Felda 2.0. foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2018.

BENTONG – Walaupun dua anak muda, Mutalib Uthman dan Radzi Tajuddin datang dari latar belakang berbeza, namun mereka menyimpan hasrat sama untuk membantu Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad memberi ‘nafas baru’ di penempatan peneroka melalui inisiatif Felda 2.0.

Meskipun bukan anak peneroka, namun ia bukan alasan malah mereka yakin mempunyai harapan dan keinginan sama untuk melihat peneroka Felda terus ke hadapan terutama dalam era digital ketika ini.

Menariknya, sebelum memberi input terhadap Felda 2.0, mereka turut mendapatkan maklumat di peringkat akar umbi, dalam konteks ini maklumat daripada warga peneroka sendiri.

Pemandangan dari atas kawasan Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 04 FEBRUARI 2018.

“Input mereka penting kerana akhirnya Felda 2.0 adalah untuk peneroka juga,” kata Radzi yang ditemui MalaysiaGazette di Felda Lurah Bilut, di sini, semalam.

Kerja keras mereka bermula sejak Ogos 2017 lagi. Ia bermula daripada pelan asas sehinggalah membawa kepada perasmian Felda 2.0 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Lembah Digital Bilut. foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2018.

“Di Felda Lurah Bilut kita boleh lihat pusat ‘co-working’ di mana ia dilengkapi dengan internet berkelajuan 100mbps seperti di bandar-bandar besar.

“Jadi pekerja digital, usahawan digital tempatan dan komuniti nomad digital boleh datang bekerja di sini.

“Untuk tarik pelancong, kita gunakan seni sebagai tarikan di mana sebuah lukisan mural gergasi dihasilkan di kilang baja. Artis mural itu pula seorang anak Melayu Malaysia yang bertaraf dunia,” katanya.

Antara kemudahan yang terdapat di Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2018.

Radzi berkata, apabila jumlah pelancong dan pekerja bertambah, sudah pasti infrastruktur juga perlu dinaik taraf seperti dataran niaga sebagai pusat beli-belah, kedai D’Mart bagi membeli barangan keperluan serta rumah inap desa.

Tambah Radzi, alam sekitar juga tidak dilupakan di mana dua sungai dinaik taraf menjadi kelas pertama, manakala 40 ekar hutan simpan dijaga dan dipulihara.

Titian Tun Razak yang ditambah baik sempena Pelancaran Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2018.

“Di situ nanti ada menara tinjau untuk melihat pemandangan lembah yang mempersonakan.

“Tetapi dalam apa juga pun proses rejuvenasi, komponen paling penting adalah penduduk setempat, kerana inilah penentu hidup mati sesebuah kawasan.

“Atas sebab itu, beberapa usahawan lokal dibangunkan kapasiti dan bakatnya menjadi jaguh tempatan.

“Mereka inilah akan jadi ‘local champions’. Kesemua inilah yang dikatakan sebagai FELDA 2.0.,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.