Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Anis Yusal Yusoff memberi penerangan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pengurusan), Dato' Adnan Hussin mengenai instrumen yang dibangunkan oleh INTEGRITI selepas majlis perasmian Roadshow INTEGRITI Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.

KOTA BAHRU – Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) akan membantu kerajaan-kerajaan negeri membangunkan pelan integriti negeri masing-masing bagi mewujudkan pendekatan lebih efektif bagi memupuk budaya berintegriti tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, menerusi program Roadshow INTEGRITI, dilancarkan Ogos lalu, yang bertujuan membawa agenda budaya berintegriti ke peringkat negeri dan seterusnya daerah, pihaknya akan membantu kerajaan-kerajaan negeri termasuk Kerajaan Negeri Kelantan dalam merangka pelan integriti peringkat negeri.

Menurut beliau, INTEGRITI juga akan membantu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan menggubal Pelan Integriti Organisasi Pejabat SUK.

“INTEGRITI juga akan membantu Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengkoordinasi dan memantau agensi-agensi pelaksana dalam menjayakan pelaksanaan program dan aktiviti integriti di negeri masing-masing,” kata beliau selepas majlis perasmian program Roadshow INTEGRITI Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini.

Menerusi Roadshow INTEGRITI segala maklumat berkaitan isu integriti di peringkat negeri akan dimuat naik dalam sistem yang dinamakan sebagai Dashboard INTEGRITI, yang merupakan satu paparan dalam bentuk pembangunan analisa yang berinformatif dan interaktif.

Pada masa yang sama, produk dan instrumen yang dibangunkan oleh INTEGRITI diperkenalkan iaitu Instrumen Penilaian Integriti (IAT), Profil Integriti Malaysia (MIP), Pelan Integriti Organisasi (PIO) dan Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (PIBK) serta Modul Integriti Prasekolah (MIPs).

Program hari ini yang berlangsung di Dewan Bunga Teratai, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat. Beliau diwakili oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Adnan Hussin.

Roadshow INTEGRITI peringkat Kelantan diadakan dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Ia merupakan salah satu mekanisme INTEGRITI untuk membantu kerajaan-kerajaan negeri menjayakan agenda pembudayaan, penghayatan dan pengukuhan integriti selaras dengan Pelan Integriti Nasional (PIN), di mana ia dapat memberi gambaran yang jelas dalam perencanaan program atau aktiviti integriti agar lebih tersusun, terarah dan sistematik serta meninggalkan kesan dan impak yang menyeluruh ke atas kumpulan sasaran.

Termasuk Kelantan, program itu telah diadakan di Selangor, Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Perlis.

Dalam pada itu, Adnan berkata, susulan program Roadshow INTEGRITI hari ini, kerajaan negeri akan membangunkan Pelan Integriti Negeri Kelantan dan juga Pelan Integriti Pejabat SUK Kelantan bagi membolehkaan agensia-agensi kerajaan negeri mempunyai Pelan Integriti Organisasi masing-masing.

“Selepas itu kami akan menggunakan instrumen-instrumen yang dibangunkan oleh INTEGRITI seperti Profil Integriti Malaysia (MIP) bagi melahirkan warga kerja yang berintegriti dan menangani kes-kes pelanggaran integriti.

“Kami berharap dengan ini akan dapat mencapai sifar kes pelanggaran integriti. Itu harapan kami,” kata beliau kepada wartawan.

Katanya, beliau yakin bahawa kehadiran peserta daripaa pelbagai lapangan akan mencetuskan idea bernas dalam mengatasi kemerosotan integriti dalam kalangan masyarakat.

“Dengan pengenalan kepada Dashboard INTEGRITI, yang mana boleh dilihat pada ‘real time’ sudah pasti akan dapat mmeberikan banyak faedah dan membantu perancangan program di masa hadapan agar lebih inklusif dan holistik,” katanya.