KUALA LUMPUR – Baru-baru ini heboh di laman sosial video yang dikongsikan oleh seorang doktor tentang pertikaian kandungan gula di dalam Milo yang didakwa mengakibatkan kegemukan.

Video yang tular sejak 4 Febuari lalu tentang kandungan gula yang didakwa menggemukkan.

Ekoran itu Nestle hari ini tampil mempertahankan salah satu produk keluaran syarikatnya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Halal Nestle, Othman Md Yusoff, Milo sebaiknya diminum tanpa tambahan susu pekat atau gula.

Beliau sehubungan itu menyarankan agar orang ramai menyediakan minuman Milo seperti panduan yang tertulis pada bungkusan minuman itu.

“Dekat bungkusan kita ada tulis penyediaan Milo iaitu lima sudu teh Milo dan kemudian tambah 200 mililiter air panas.

“Tapi orang kita tambah susu, gula. Itu yang jadi tak sihat,” katanya katanya ketika mengadakan sidang media bersama-sama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini.

Dalam pada itu, walaupun mengakui kandungan gula dalam Milo adalah 40 peratus namun Othman berkata, ia hanya tinggal enam peratus sahaja selepas dibancuh dengan air.

Justeru beliau berkata, video yang mempertikaikan kandungan gula dalam produk Nestle sengaja dibuat untuk mengelirukan.

“Bagi saya, minuman Milo ialah minuman yang sihat.

“Sebenarnya, di bungkusan memang tertulis gula sebanyak 40 peratus, 40 peratus gula itu, 20 peratus daripadanya ialah daripada susu, laktosa dan malt.

“Selepas lima sudu teh Milo ditambah dengan 200 mililiter air panas, jumlah gula kemudian menjadi enam peratus sahaja iaitu tiga peratus daripada susu tadi dan tiga peratus lagi gula.

“(Kadar) 40 peratus itu bila tidak dicampur air. Jadi sebenarnya hanya enam peratus gula sahaja yang masuk ke badan. Video yang viral itu mengelirukan,” tambah beliau.

Video yang dikongsikan itu mendapat perhatian ramai netizen apabila terkini jumlah yang menontonnya  355,000 pengguna Facebook dan dikongsikan 18,000. -MalaysiaGazette