Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR – Pasaran dijangka terus berkembang disokong oleh pendapatan korporat serta fundamental kukuh ekonomi negara meskipun berlakunya penjualan besar-besaran dalam pasaran saham tempatan baru-baru ini.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, kejatuhan pasaran saham tempatan kebelakangan ini disebabkan penjualan besar-besaran di Wall Street sejak Jumaat lalu.

“Asalkan ekonomi Malaysia terus bertambah baik dan pendapatan korporat semakin meningkat dan memberikan dividen yang baik, kita menjangkakan pasaran saham akan kembali melantun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pasaran saham global mengalami kejatuhan akibat rali berterusan sejak Jumaat lalu dipengaruhi oleh sentimen kerugiaan di Wall Street.

Bersama-sama negara lain di rantau ini, Bursa Malaysia turut mengalami tempias apabila Dow Jones juga mengalami penjualan besar-besaran.

Indeks penanda aras FBM KLCI meneruskan trend rugi sebanyak 50 mata sebelum dagangan ditutup tengahari tadi sejajar dengan kejatuhan Down Jones sebanyak 1,100 mata.

FBM KLCI dibuka rendah sebanyak 25 mata berbanding ketika ditutup semalam.

Menurut Abdul Wahid, pendapatan korporat Malaysia dijangka berkembang lebih tujuh peratus dan ia sejajar dengan unjuran banyak pihak.

“Kita mengharapkan pendapatan korporat berkembang lebih tujuh peratus terutamanya dalam syarikat-syarikat strategik kami,”kataya. – MalaysiaGazette