Seorang broker jualan kenderaan bergelar Datuk, yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek kerajaan bernilai jutaan ringgit, dibebaskan hari ini.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Cawangan Segamat menahan seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran yang bertugas di Majlis Perbandaran Segamat (MPS) kerana disyaki menerima wang rasuah sebanyak RM 5,000.

Suspek seorang lelaki berumur 57 tahun yang bertugas di Majlis Perbandaran Segamat ditahan di pejabat SPRM Johor Cawangan Segamat kira-kira pukul 2.30 petang ini bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Dalam satu serbuan yang dibuat di pejabat suspek di Jalan Buluh Kasap Segamat, pasukan penyiasat telah menyita beberapa dokumen berkaitan program berkenaan.

Hasil siasatan dijalankan, suspek disyaki menerima wang tersebut daripada pengurus sebuah syarikat pengurusan program dan acara sebagai balasan menyokong permohonan menganjurkan program di Daerah Segamat pada tahun 2018.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000.00 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette.