Home Nasional Beri kuasa merotan kepada semua guru – Parlimen Belia

Beri kuasa merotan kepada semua guru – Parlimen Belia

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menambahbaik pelaksanaan hukuman rotan bagi menjadikan peraturan disiplin sekolah lebih komprehensif supaya dapat mengawal tingkah laku pelajar dan murid dengan lebih teratur.

Menurut Ahli Parlimen Belia Perak, Nanthakumar Rajendraran, walaupun hukuman telah mula dikuatkuasakan sejak tahun lalu namun terhad kerana kuasa hanya diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru hal ehwal murid.

Nanthakumar berkata, guru-guru lain terpaksa berputih mata, malah ada diheret ke mahkamah semata-mata berniat untuk membentuk anak bangsa melalui hukuman rotan.

“Masalah displin pelajar-pelajar kita semakin meruncing, sebut sahaja, macam-macam jenis kesalahan termasuk jenayah dadah sehingga buli yang mendatangkan maut. Ini tidak boleh pandang secara ringan dan statistik terkini sangat menggangu fikiran.

“Walaupun hukuman rotan telah dibawa masuk tahun lalu, namun kuasanya masih lagi terhad. Hampir lima juta pelajar telah mulakan sesi persekolahan untuk 2018, bilangan ini bukan satu angka kecil yang boleh dikawal oleh guru-guru kita.

“Kerajaan perlu memberi kuasa kepada guru-guru kita merotan seandainya ada keperluan, bukan sahaja membentuk pelajar kita, tidak kira dalam peringkat rendah atau menengah, tetapi mereka juga akan memainkan peranan penting dalam mengekang masalah displin yang kini menghantui kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Persidangan Belia 2018 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Persidangan ini yang berlangsung selama dua hari bermula hari akan dihadiri oleh 125 Ahli Parlimen Belia seluruh negara.

Wakil belia Selangor, Siti Bainun Ahmad Razali pula berpendapat, pelaksanaan hukuman rotan dengan lebih ketat mampu memberi pengajaran, selain menginsafkan pelajar daripada melakukan kesalahan yang sama.

“Walaupun di barat sudah memansuhkan hukuman rotan di sekolah, dalam konteks negara-negara di timur termasuk Malaysia, hukuman rotan di sekolah masih diperlukan. Dengan mengenakan pelbagai syarat, rasa takut pada hukuman itu berkuarangan.

“Sekiranya masalah disiplin tidak ditangani secara bijaksana, dikhuatiri akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, sekali gus menjejaskan prestasi pendidikan anak bangsa yang merupakan pewaris generasi masa depan Malaysia.

Jelas Siti, untuk melahirkan generasi yang baik, didikan perlu bermula sejak di bangku sekolah lagi kerana kegagalan pendidikan generasi baharu di sekolah boleh menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat pada masa akan datang.

Sementara itu, menurut Then Mugilan wakil dari Johor menyokong usul oleh Nanthakumar berpendapat hukuman rotan sebenarnya merupakan satu pendekatan yang mampu memberi kesedaran dan mendisplinkan para pelajar.

“Rata-rata pelajar kita berani melakukan kesalahan kerana mereka sedar guru tidak mempunyai kuasa untuk menghukum mereka, ini menyebabkan mereka menjadi lebih berani untuk melakukan perkara-perkara luar dugaan dan kesalahan jenayah.

“Hukuman merotan yang dilaksanakan terhadap pelajar perlu mengikut keadaan semasa, bersyarat dan wajar tanpa mengakibatkan sebarang kecacatan fizikal. Ia perlu dikuatkuasan secara holistik,” ujarnya.

Tahun lalu, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan kenyataan pengetua atau guru akan diberi kuasa penuh untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata, hu­­kuman tersebut tidak di­benarkan dilakukan di depan khalayak ramai semasa perhimpunan, sebaliknya di dalam bilik.

Terdapat prosedur operasi standard untuk ambil tindakan (merotan) bagi mereka (pelajar) yang langgar peraturan sekolah.

Sebelum dijatuhi hukuman rotan, pihak sekolah akan keluarkan amaran lisan, amaran kes, amaran bertulis disusuli perjumpaan dengan ibu bapa.

Sekiranya bersalah, rotan maksimum tiga kali untuk pelajar lelaki di bahagian tangan dan diadakan secara tertutup.

Usul tersebut telah diluluskan sebulat suara oleh Parlimen Belia hari ini sebentar tadi.