KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan e-panggilan, My-Ride menyambut baik pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengenai larangan sistem bidaan harga kepada penumpang.
Jurucakap MyRide, Fikri Farabi Mat Nori mendakwa, sistem bidaan yang diperkenalkan sejak empat tahun lalu itu merosakkan kadar tambang dalam industri perkhidmatan e-panggilan sedia ada.
“Langkah Kementerian Pengangkutan melarang sistem bidaan kepada penumpang itu tepat dan ia wajar dipantau kerajaan.
“Sistem bidaan telahpun merosakkan harga industri e-panggilan sejak empat tahun lalu dan ini sesuatu tidak baik untuk industri e-panggilan negara kita,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan MOT tidak pernah membenarkan penyedia aplikasi perkhidmatan pengangkutan e-hailing menggunakan sistem bidaan harga kepada penumpang.
Anthony berkata, beliau sudah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyemak sistem berkenaan yang digunakan pemandu e-panggilan ketika ini.
Melalui sistem bidalan ini, pemandu e-panggilan boleh meletakkan harga sendiri bagi satu jarak perjalanan yang ditempah pelanggan sebelum dibida sekiranya kadar tambang itu dipersetujui.
Sementara itu, Fikri Farabi memberi jaminan, MyRide yang dimiliki syarikat tempatan itu tidak menawarkan sebarang bidaaan kepada para pelanggannya.
“MyRide, e-panggilan tempatan bertaraf 100 peratus syarikat tempatan menyokong penuh kenyataan menteri.
“MyRide hanya melaksanakan sistem tambang tetap agar pemandu sentiasa mendapat nilai tambang yang stabil serta menawarkan harga berpatutan dan berbaloi kepada pengguna.
“MyRide kini berada di bandar utama di seluruh negara dengan kadar tambang bermula dari RM4,” katanya. – MalaysiaGazette