Pengasas Karnivor Malaya, Ahmad Faisal Razali (kanan) dan Mohd. Nazir Dzulkifli.

KAJANG – Menyusuri laluan di Jalan Reko di sini, mood pemanduan langsung tidak terganggu dengan suasana trafik yang sesak.

Perjalanan dari ibu kota hanya mengambil 30 minit sahaja jika bijak menggunakan laluan alternatif.

Sampai di Stesen Komuter Universiti Kebangsaan Malaysia, tempat yang ingin tuju itu agak tersorok di sebalik bengkel-bengkel kenderaan namun sebaik menjejakkan kaki di Restoran Cilantro, perasaan kagum mula terbit.

Tenang dan damai tempatnya selain menjadi ‘syurga daging salai’ dan restoran yang sama pernah beroperasi di MAEPS Serdang.

Menu Smoked Beef yang lazat dan lembut perlu disalai dalam tempoh 12 hingga 24 jam.

Bisnes yang diusahakan oleh Karnivor Malaya Enterprise (Karnivor Malaya) merupakan syarikat bumiputera yang terlibat dalam segmen prosesan daging mentah premium.

Mereka tampil memperkenalkan konsep memasak secara salai (smoked) yang diadaptasikan daripada teknik memasak daging lembu dari Texas, Amerika Syarikat, inspirasi dari Franklin Barbeque.

Pengasas syarikat, Ahmad Faisal Razali berkata, dia bermula dengan modal sebanyak RM30,000 dalam mencipta kelainan menu masakan buat orang ramai.

Beliau turut mengakui teknik memasak secara salai cara barat ini masih baru di pasaran tempatan namun berpotensi untuk menawarkan pasaran besar pada masa depan.

Ahmad Faisal Razali.

Ini kerana jelasnya, selera dan gaya hidup masyarakat  sentiasa berubah dan sedia serta tidak berkira berbelanja besar untuk menikmati makanan yang sedap dan unik.

“Saya amat menjaga kualiti masakan sebab itu proses salai daging cara barat ini menitik beratkan teknik dan hanya menggunakan keratan daging  berbeza.

“Pada masa sama, penggunaan  jenis daging dan suhu, jenis kayu yang digunakan tidak ambil mudah.

“Kami memilih kayu asli seperti Oak dan Hickory yang haya boleh di dapati di luar negara kerana ia memiliki kandungan lignin yang akan memberi rasa dan aroma pada daging,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Turut hadir pengasas bersama syarikat, Mohd. Nazir Dzulkifli.

Karnivor Malaya menitik beratkan proses salai daging cara barat ini menitik beratkan dan hanya menggunakan keratan daging berbeza.

Kedua-dua mereka merupakan jurutera dalam bidang minyak dan gas mula menceburi bidang perniagaan prosesan daging premium seperti wagyu dan angus sejak akhir tahun 2016.

Ahmad Faisal menjelaskan, penggunaan dapur khas yang dikenali sebagai Thermodynamic untuk menyalai daging amat penting, disebabkan itu pihaknya telah mengubahsuai peralatan yang dibeli di pasaran biasa tersebut untuk mendapatkan kawalan  suhu yang baik dan kitaran asap yang optimum untuk daging.

“Untuk mendapatkan menu Smoked Beef yang lazat dan lembut, ia perlu disalai dalam tempoh 12 hingga 24 jam,” ujarnya.

Karnivor Malaya menawarkan harga menu daging salai bermula serendah RM4.90 hingga RM150 bagi pakej empat pelanggan.

Mengenai perancangan masa depannya, Mohd. Nazir menjelaskan, syarikat bercadang untuk meneroka pasaran ini dengan lebih serius kerana ia masih baharu.

Menurut beliau, antara segmen perniagaan yang bakal diceburinya ialah foodtrak dan juga pengeluaran produk dingin beku siap dimakan kepada pelanggan khususnya kepada pengembara atau pelancong ke luar negara yang bakal berdepan dengan kesukaran mendapatkan makanan halal.

Karnivor Malaya hanya menggunakan kayu asli seperti Oak dan Hickory yang hanya boleh di dapati di luar negara.

Sementara, Karnivor Malaya menawarkan menu harga daging salai bermula serendah RM4.90 hingga RM150 bagi pakej empat pelanggan.

Ia turut menyediakan pakej untuk 40 orang dengan harga RM1,000.

Orang ramai yang ingin mencuba atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 0192415040. – MalaysiaGazette