KOTA BHARU – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menarik balik gelaran Datuk yang dianugerahkan kepada dua pemimpin kanan Parti Amanah Negara (PAN), Husam Musa dan Wan Ab. Rahim Wan Abdullah.

Pembatalan darjah kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili II) kedua-dua pemimpin PAN tersebut berkuat kuasa semalam.

Husam merupakan Naib Presiden PAN manakala Wan Abdul Rahim adalah Pengerusi PAN Kelantan.

Pembatalan darjah tersebut dibuat melalui surat yang ditandatangi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat.

Husam dan Wan Abdul Rahim dalam kenyataan bersama berkata, pihaknya menerima surat tersebut pada petang semalam.

“Menjunjung sebagaimana dititahkan, kami berdua mengembalikan ketandaan darjah kebesaran dan surat pelantikan yang berkaitan kepada Pengelola Istana Diraja Kelantan, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir pada pukul 10 pagi ini.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjunjung kasih dan mengulangi taat setia tidak berbelah bahagi kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V,” katanya.

Kenyataan bersama itu dibacakan oleh Wan Abdul Rahim dalam sidang akhbar di Pejabat PAN Kawasan Kota Bharu, di sini hari ini. Husam bagaimanapun tidak hadir.