Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai diiringi Pengerusi Malaysia Airports, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (kanan) melawat ruang legar pada Majlis Perasmian Fasa 2 Mitsui Outlet di Mitsui Outlet Park KLIA Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 08 FEBRUARI 2018

SEPANG – MFMA Development Sdn. Bhd. mensasarkan pendapatan sebanyak RM610 juta pada 2025 selepas ketiga-tiga fasa Mitsui Outlet Park KLIA siap selama tiga tahun.

Fasa ketiga kerja pembinaan pusat membeli belah itu akan dimulakan pada 2020 dan dijangka siap setahun kemudian.

Pengarah MFMA Development, Tatsuro Irino berkata, Mutsui Fudosan dijangka melabur sebanyak 10 bilion Yen (RM357 juta) bagi pembangunan ketiga-tiga fasa Mitsui Outlet Park.

“Kita mensasarkan pendapatan jualan berjumlah 17 bilion yen Jepun (RM610 juta) menjelang 2025,” katanya selepas majlis perasmian fasa kedua Mitsui Outlet Park KLIA yang disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pegawai Pengarah Eksekutif Mitsui Fudosan Co Ltd, Akihiro Funaoka.

Mitsui Fudosan menguasai 70 peratus kepentingan dalam MFMA Development yang bertanggungjawab membina bangunan dan menyewakannya selain mempromosikan projek tersebut manakala baki 30 peratus dimiliki Malaysia Airports.

Irano berkata, fasa ketiga yang dijangka siap pada 2021 akan dilengkapi dengan 250 buah kedai pada keluasan 73,000 meter persegi.

Tambah beliau, sejak beroperasi pada tahun 2015, Mitsui Outlet Park KLIA berjaya menarik lebih empat juta pelanggan dalam dan luar negara dan menganggarkan lapan juta orang akan mengunjungi pusat membeli-belah itu pada 2010.

“Ketika ini nisbah pelanggan yang datang membeli belah di Mitsui ialah 80 peratus adalah tempatan rakyat Malaysia manakala 20 peratus ialah pelancong.

Namun kata beliau, pihaknya mahu mengimbangi nisbah tersebut dengan 60 peratus adalah pengunjung tempatan dan baki 40 peratus ialah pelancong. – MalaysiaGazette