Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Ahmad Najmuddin Mohd bergambar kenangan bersama pegawai penguatkuasa undang-undang antarabangsa pada Majlis Pelancaran Malaysia Internet Crime Against Children Investigation Unit (MICAC) di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Sebuah unit baharu, Malaysia Internet Crime Against Children Investigation Unit (MICAC) ditubuhkan Bukit Aman bagi memerangi jenayah internet melibatkan eksploitasi bahan-bahan terlarang kanak-kanak.

Penubuhan MICAC kendalian Bahagian Seksual Dan Kanak-Kanak itu akan menyiasat maklumat diterima dan mencegah penyebaran maklumat gambar seksual, video dan audio melibatkan kanak-kanak di dalam internet.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, penubuhan unit baharu tersebut kena pada masanya dengan perubahan lanskap dunia teknologi zaman ini yang semakin canggih yang memerlukan pemantauan lebih cekap.

“Terdapat penyalahgunaan internet yang menjadikan mereka (kanak-kanak) sebagai mangsa dan ia suatu yang serius memerlukan tindakan segera oleh penggubal undang-undang, keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa.

“Oleh sedemikian, terdapat keperluan segera untuk menubuhkan unit siasatan siber bagi memantau semua medium komunikasi berasaskan internet yang digunakan oleh pemangsa untuk memuatnaik, kongsi dan mempromosikan pornografi atau kandungan seksual yang menyasarkan kanak-kanak di dalam internet,” kata beliau semasa merasmikan penubuhan unit tersebut di Bukit Aman hari ini.

Sejak 2011, Bahagian D11 menjalinkan kerjasama dengan Interpol dan bertukar-tukar maklumat berhubung jenayah internet kanak-kanak, sebanyak 88 maklumat diterima daripada agensi luar dan dalam negara.

Jelas Wan Ahmad Najmuddin, kanak-kanak dan remaja zaman teknologi lebih banyak terdedah dengan media sosial tanpa menyedari ia menjadi platform baharu untuk pedofilia mencari mangsa mereka.

“Apabila kanak-kanak mula menggunakan media sosial, mereka cenderung obses dengan aktiviti dalam dunia siber.

“Mereka mudah terdedah kepada pedofilia, yang akan cuba menggoda kanak-kanak dengan ayat-ayat manis untuk mendapat kepercayaan. Banyak pemangsa seksual menghabis masa berminggu-minggu untuk menggoda mangsa-mangsa mereka untuk dijadikan eksploitasi seksual,” katanya lagi.

Sementara itu, Wan Ahmad Najmuddin berkata objektif utama unit tersebut adalah memantau serta menyiasat dan membawa penjenayah terlibat ke muka pengadilan dengan segera.

Bagi Ketua Penolong Pengarah D11, ACP Ong Chin Lan berkata, penubuhan unit tersebut amat diperlukan memandangkan kepesatan dunia teknologi yang memerlukan kepakaran teknikal untuk memantau jenayah internet terhadap kanak-kanak.

“Kami merasakan terdapat keperluan untuk menubuhkan unit khas dalam menangani jenayah seksual siber kanak-kanak yang semakin berkembang pantas dalam negara kita.

“Penubuhan MICAC ini umpama satu mimpi yang menjadi kenyataan bagi saya,” katanya.

Untuk permulaan, MICAC ini akan dikendalikan oleh D11 yang memiliki 242 pegawai polis yang telah dilatih dengan ilmu pengetahuan mengenai siasatan jenayah internet kanak-kanak. – MalaysiaGazette