Pengarah dan penerbit Ola Bola The Musical, Puan Sri Tiara Jacquelina pada jemputan media eksklusif premier teater Ola Bola di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR  – Semalam, bermulalah satu episod yang bakal memberi kegemilangan buat teater Ola Bola The Musical (Ola Bola) di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Ini kerana Ola Bola hadir tepat pada masanya pada awal tahun 2018 selepas lebih enam bulan IB ditutup untuk kerja-kerja penambahbaikan.

Yang pasti, teater yang diangkat dari layar lebar itu akan menjadi lambang kejayaan teater muzikal Melayu selepas ini.

Kemunculannya pasti mengubat rindu semua peminat teater. Parkir Istana Budaya kembali padat. Malah kesesakan padat bakal dilalui lebih sebulan nanti.

Antara babak dalam pementasan teater berjudul Ola Bola The Musical pada jemputan media eksklusif premier teater Ola Bola di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2018

Bagi tonggak utama Ola Bola, Puan Seri Tiara Jacquelina yang bertindak sebagai penerbit dan pengarah, beliau terpaksa berkorban sejak setahun lalu yang memerlukan keberanian luar biasa.

Pada mata kasar penonton, Tiara pasti diingati dek kerana kelihatan cantik, hebat dan mengagumkan tatkala berlakon, menyanyi dan menari di atas pentas canggih IB.

Siapa boleh lupa rangkaian teater lakonannya terutama Puteri Gunung Ledang The Musical yang mencetuskan fenomena pada 2006.

Kata Tiara jujur, melangkah masuk sahaja ke pintu Istana Budaya, rasa rindu sebagai pelakon terbit dalam dirinya.

Antara babak dalam pementasan teater berjudul Ola Bola The Musical pada jemputan media eksklusif premier teater Ola Bola di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2018

Namun untuk Ola Bola, Tiara membuktikan sisi lain sebagai pengarah apabila berjaya meletakkannya sebagai satu penanda aras sebuah pementasan yang bertaraf dunia.

Apa tidaknya, sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam Panggung Sari, suasana gamat seperti berada di dalam stadium.

Stadium keramat iaitu Stadium Merdeka tahun 1976 penuh dengan penyokong yang bersorak dan bergema dalam seluruh panggung.

Malah keberanian Tiara membawa sebuah stadium di dalam panggung merupakan di luar kotak pemikiran yang belum pernah dibuat oleh mana-mana pementasan teater tempatan mahupun di peringkat antarabangsa.

Tiara Jacquelina.

Tiara berjaya membuat penonton kagum sekali gus membuktikan anak Malaysia mampu melakukannya dan tidak mustahil untuk direalisasi.

Tiara juga tampil kreatif dan penuh kelainan menerusi aksi tendangan dan tandukan bola di atas pentas. Penonton juga terpegun dan kagum dengan paparan lakaran animasi ala filem marvel yang diselitkan dalam beberapa babak.

Pada masa sama, wanita berusia 50 tahun berjaya mengadun semua elemen seperti komedi, sedih, bersahaja dan serius dalam Ola Bola.

Antara babak dalam pementasan teater berjudul Ola Bola The Musical pada jemputan media eksklusif premier teater Ola Bola di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2018

Seperti produk terbitannya sebelum ini, latar belakang kehidupan masyarakat yang berbilang kaum tidak dilupakannya.

Berakhir teater selama lebih dua jam itu, magis Tiara kini kembali dan sudah pasti namanya akan mejadi legenda teater Malaysia sebagaimana Gusti Putri Retno Dumilah menjadi legenda di Gunung Ledang.

Antara babak dalam pementasan teater berjudul Ola Bola The Musical pada jemputan media eksklusif premier teater Ola Bola di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 07 FEBRUARI 2018

Ditanya magis dirinya kembali lagi, Tiara hanya tersenyum manis. Sambil merendah diri, beliau tidak mahu memberi jawapan.

“Siapa yang cakap magis? Awak sahaja kot,” katanya kepada penulis penuh makna tersirat.

Sementara itu, Tiara  berharap hasil arahan sulungnya itu mampu menarik 40,000 penonton sepanjang lebih sebulan ia dipentaskan sehingga 11 Mac ini. – MalaysiaGazette

Antara babak dalam pementasan teater berjudul Ola Bola The Musical pada jemputan media eksklusif premier teater Ola Bola di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 07 FEBRUARI 2018