Rafizi kalah dalam kes saman malu.

KUALA LUMPUR – Tindakan Rafizi Ramli dan beberapa pemimpin pembangkang yang mempertikai keputusan mahkamah yang memutuskan hukuman penjara 30 bulan disifatkan sebagai menghina mahkamah, kata Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM).

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar. foto HAZROL ZAINAL, 27 JULAI 2017.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar mempersoalkan kewajaran pembangkang yang cuba mempertahankan Rafizi kononnya menjadi mangsa dalam kes perbicaraan tersebut.

“Tindakan beberapa orang pemimpin pembangkang yang secara berterusan mempertahankan Rafizi kononnya adalah mangsa kepada undang-undang negara dilihat sebagai satu lagi cubaan menghina Institusi Kehakiman Negara dan memperbodohkan seluruh rakyat Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkarnain menegaskan mahkamah hanya melaksanakan undang-undang berlunaskan prinsip keadilan dan bukan atas kepentingan mana-mana pihak.

“Pihak Mahkamah sebenarnya hanya melaksanakan undang-undang akibat perlanggaran undang-undang yang telah dilakukan oleh Rafizi sendiri,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, tindakan pembangkang mempertikai hukuman tersebut menunjukkan sikap hipokrit mereka yang tidak boleh menerima hakikat apabila pemimpin mereka bersalah.

“Namun, telah menjadi adat resam kepada pembangkang di Malaysia, iaitu apabila pemimpin mereka didapati bersalah, mereka akan mengatakan undang-undang tidak dilaksanakan dengan adil. Sebaliknya apabila yang bersalah itu datang daripada pemimpin Barisan Nasional, maka mereka menafsirkan undang-undang telah tertegak dengan jayanya.

“Ini sekaligus menunjukkan sikap hipokrit pembangkang yang jelas  cuba memperbodohkan rakyat Malaysia kononnya mereka sentiasa betul dalam setiap tindakan yang mereka lakukan,” katanya lagi.

Rafizi baru-baru ini telah dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan, selepas didapati bersalah melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA) kerana mendedahkan empat akaun bank, berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail. – MalaysiaGazette