Home Seni Hidup Dadah: Seniman, AADK gempur lokasi penggambaran

Dadah: Seniman, AADK gempur lokasi penggambaran

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi.

KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam menangani pelbagai masalah berkaitan dadah melibatkan golongan artis sejak kebelakangan ini.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, usaha itu melibatkan beberapa langkah penting dalam memerangi dadah habis-habisan.

Jelas beliau, antaranya yang dipersetujui adalah melantik seorang penasihat bagi Agensi Anti Dadah Kebangsaan untuk memberikan sebarang pandangan yang berkaitan terhadap isu dadah yang berkaitan dengan industri seni.

“Selain itu, pelbagain aktiviti bersepadu antara Seniman antara AADK termasuk pemulihan, latihan, pencegahan, rawatan dan kajian akan diadakan.

“Seniman juga mencadangkan untuk mengadakan satu forum seumpama Transfomasi Nasional berkenaan dengan kesedaran terhadap bahayanya dadah di kalangan pemain industri seni yang akan diadakan dalam masa terdekat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Zed Zaidi, kesepakatan kerjasama itu dicapai hasil kunjungan hormat antara Seniman ketika bertemu Ketua Pengarah AADK,  Datuk Dr .Abdul Halim dan pegawai agensi tersebut baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Seniman akan berkerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Finas dan beberapa lagi persatuan untuk mengadakan operasi serbuan bersepadu di lokasi penggambaran drama atau filem di negara ini.

“Seniman sangat komited dan memandang serius berkenaan dengan isu dadah di kalangan artis.

“Seniman juga berharap ahli-ahli Seniman dan orang ramai bersama-sama mengalas tanggungjawab sosial ini demi memartabatkan industri seni bebas dadah menjelang tahun 2023.

“Segalanya mungkin jika kita semua bersatu demi perangi dadah habis-habisan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette