Bibi Ramjani Illias Khan

KOTA BHARU – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan resah dengan prestasi pasukan Kelantan yang kurang memuaskan selepas tiga perlawanan saingan Liga Super 2018.

Bibi Ramjani berkata prestasi tersebut memberi tekanan kepadanya selaku pemimpin persatuan berkenaan, terutama pada tahun pertama beliau menerajui KAFA.

“Daripada sembilan mata maksimum, Kelantan hanya memperoleh satu mata di tempat sendiri dan tercicir enam mata di gelanggang lawan. Ia cukup memberi keresahan kepada pihak pengurusan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kelantan kini berada di kedudukan tercorot dalam carta liga, dengan hanya mengutip satu mata ketika seri 1-1 bertemu Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV dan tewas dua perlawanan di tempat lawan.

Bibi Ramjani berkata kemelut prestasi itu tidak boleh dibiarkan berterusan dan barisan jurulatih serta pemain harus memperbaiki serta mengkaji corak permainan mereka.- BERNAMA