Sawarak state election government assembly Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari Tun Openg

KUALA LUMPUR- Sarawak akan menggunakan kuasa Imigresen untuk menghalang individu yang berfahaman pelampau dan ekstremis memasuki negeri itu, menurut Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Abang Johari berkata, beliau akan menggunakan kuasanya sebagai pemerintah tertinggi bagi melaksanakan undang-undang itu.

“Pihak Imigresen akan meneliti senarai mereka yang dikenal pasti pelampau dan akan memaklumkan larangan masuk kepada individu terbabit,” katanya ketika merasmikan Program Aprisiasi Rukun Tetangga 2018, di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di Demak Laut, Kuching.

Tambahnya, tindakan ini penting bagi menghalang menyebarkan fahaman yang boleh merosakkan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.

“Keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini sudah cukup baik, sebab itu kita tidak mahu ia digugat oleh mereka yang berfikiran pelampau.

“Kita dapat lihat apa yang berlaku di Semenanjung apabila muncul seorang dua yang berfahaman pelampau, mencetuskan banyak isu perkauman dan keagamaan, contohnya dalam isu kedai dobi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette