Home Nasional Tindakan Azmin pulang tanah Ijok mencurigakan

Tindakan Azmin pulang tanah Ijok mencurigakan

KUALA LUMPUR – Tindakan Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Datuk Sri Mohamed Azmin Ali memulangkan semula tanah peneroka Ijok kepada LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd mencurigakan.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan mahkamah semasa pentadbirannya adalah selaras dengan perjuangannya menuntut semula tanah bernilai RM1.18 bilion namun malangnya situasi kini berubah.

“Kerajaan Negeri Selangor tidak seharusnya bersetuju dengan penyelesaian tersebut yang jelas telah memberi kesan negatif.

“Sekarang terdapat persepsi bahawa penyelesaian tersebut dibuat dalam keadaan mencurigakan, sekaligus mencemar nama baik dan reputasi kerajaan negeri,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Baru-baru ini Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendakwa wujud percanggahan dalam langkah pentadbiran Menteri Besar Selangor yang menyerahkan semula tanah tersebut kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, tindakan itu membuktikan Azmin sebagai peneraju Selangor tidak menguruskan aset negeri dengan baik.

“Pada pendapat saya, ini bukanlah amalan terbaik dan bukan “good business sense” dalam mengendalikan asset-aset rakyat Selangor,” ujarnya.

Sehubungan itu Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Adun Pelabuhan Klang berharap agar pihak berkuasa menyiasat secara terpinci perkara ini.

Semasa Pakatan Rakyat memenangi Selangor pada 2008, Khalid mengambil alih semula tanah kerajaan negeri yang dimiliki oleh kedua-dua syarikat itu kerana berlakunya pelanggaran syarat dan terma-terma perjanjian.

Mujur Zaman dan LBCN Development kemudiannya menyaman kerajaan negeri dan Menteri Besar Selangor di mahkamah tinggi untuk mendapatkan balik tanah-tanah tersebut namun keputusan berpihak kepada Kerajaan Selangor walaupun kemudiannya kedua-dua syarikat itu membuat rayuan. -MalaysiaGazette