Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. foto SAFWAN MANSOR, 05 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Dakwaan kerajaan tidak memberikan subsidi kepada rakyat tidak benar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi akaun Twitternya, Najib menyeru agar rakyat tidak terpengaruh dengan tuduhan yang mengatakan kerajaan tidak berbuat demikian kerana yang berlaku adalah sebaliknya.

Tambah Najib, selaku ketua pentadbiran kerajaan, beliau mendengar seruan meminta kerajaan menyediakan subsidi untuk rakyat mengurangkan kos sara hidup.

“Seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018, sebanyak RM3.9 bilion disediakan untuk subsidi barang serta pengangkutan seperti gas memasak, tepung, minyak masak dan banyak lagi.

“Selain subsidi untuk barang, terdapat subsidi elektrik dan tol supaya kenaikan kadar elektrik dan tol dapat dielakkan.

“Kerajaan juga memperuntukan subsidi kesihatan yang tinggi setiap tahun,” katanya menerusi catatan di blog rasmi www.najibrazak.com, hari ini.

Jelas Najib yang juga Menteri Kewangan, sebanyak RM26.5 bilion disediakan untuk penjagaan kesihatan pada 2018 meskipun kutipan dalam sektor itu hanya RM600 juta, menjadikan perbelanjaan selebihnya ditanggung penuh kerajaan.

Sejak 2012, beliau berkata, yuran wajib dikecualikan sepenuhnya di sekolah kerajaan dan kerajaan turut membiayai kira-kira 90 peratus daripada yuran pengajian universiti.

Bagi sektor perumahan, Najib berkata, kerajaan menyediakan subsidi dalam bentuk bantuan deposit iaitu Skim MyDeposit.

Selain itu, katanya, subsidi rumah kos rendah disediakan seperti Program Perumahan Rakyat, Rumah Generasi Kedua Felda dan Rumah Bina Negara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

“Contohnya, yuran program pengajian perubatan sebelum subsidi adalah sebanyak RM289,885. Namun, selepas subsidi, pelajar hanya perlu membayar yuran RM9,000 sahaja sepanjang tempoh pengajian.

“Ini satu lagi contoh bagaimana subsidi pendidikan disalurkan,” menurutnya.-MalaysiaGazette