Home Utama Tol punca sakit kepala, kalau boleh mansuh saya buat – Najib

Tol punca sakit kepala, kalau boleh mansuh saya buat – Najib

lebuh raya
Pengguna melepasi Plaza Tol Sungai Rasau di Shah Alam secara percuma pada pukul 12.01 tengah malam selepas pelaksanaan Pemansuhan Kutipan Tol Sungai Rasau dan Tol Batu Tiga mulai 1 Januari 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri akan memansuhkan tol-tol mana yang boleh dilakukan oleh kerajaan kerana pelaksanaan sistem itu sebenarnya hanya membebankan rakyat di negara ini.

“Saya tidak percaya kalau kita mengenakan tol untuk kegunaan harian, ia baik untuk rakyat.

“Saya memang tidak pernah percaya dengan tol. Sebab itu mana (tol) yang boleh saya mansuhkan, saya akan buat.

“Tol-tol ini hanya menyebabkan sakit kepala dan kesesakan lalu lintas,” katanya pada sesi perkongsian #Bajet2018 Bersama Rakyat mengenai Kesejahteraan Isi Rumah di Pusat Perubatan UKM hari ini.

Disebabkan itu, Datuk Seri Najib Razak berkata, Lebuh Raya Pan Borneo tidak akan mempunyai tol, selepas kerajaan memansuhkan Tol Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam dan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL).

Menyifatkan isu tol sebagai masalah warisan, Najib berkata, beliau perlu menanganinya jika ia tidak menjadi kepentingan rakyat.

“Saya akan laksanakannya (mansuh tol),” ujar Najib. – MalaysiaGazette