Pengawal keselamatan kondominium mewah di Wangsa Maju memeriksa sebuah unit diduduki warga Britain didakwa mengganggu jiran sekeling dengan memasang lampu limpah 24 jam.

KUALA LUMPUR – Sudahlah setiap hari ‘bergaduh’ dengan jiran kini seorang warga Britain yang tinggal di Kondominium Riana Green East Wangsa Maju dekat sini sengaja memasang lampu limpah (spotlight) di depan rumah sehingga ‘mengganggu’ jiran-jirannya.

Lampu yang dipasang 24 jam itu bukan sahaja menyakitkan mata  tetapi menyebabkan suhu di sekitarnya semakin membahang.

Apabila ditegur, warga Britain itu marah-marah dan sering mencetuskan pergaduhan dan provokasi.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama di kondominium berkenaan, Yassir Yusoff yang menerima banyak aduan mengenai sikap warga asing itu mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas ke atas warga Britain tersebut.

Menurutnya, hampir setiap hari warga Britain itu mencetuskan provokasi dan bersikap kurang ajar sehingga menyebabkan jiran-jirannya tidak selesa.

“Dalam insiden terkini, warga Britain itu meletakkan lampu spotlight di luar rumahnya menyebabkan gangguan penglihatan terhadap penghuni lain.

“Kami rasa pelik dan tidak pasti tujuan sebenar dia memasang lampu yang sangat terang itu yang dibiarkan menyala 24 jam setiap hari.

“Sudah lebih sebulan dia membiarkan lampu itu menyala dan ia mengganggu keselesaan jiran semua,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beberapa orang wartawan sedang berbual dengan pengawal keselamatan dan penghuni lain di Kondominium itu yang didakwa diganggu oleh warga Britain.

Tambah Yassir, warga Britain itu juga didakwa bersikap kurang ajar dan memaki hamun jiran-jiran yang menegur tindakannya itu.

“Kami pernah bertemu dengan dia beberapa kali cuba berbincang  tetapi dia tidak mahu melayan kami sebaliknya memaki kami dengan kata-kata kesat.

“Jadi, kami penduduk sudah hilang kesabaran dengan warga Britain ini dan harap DBKL dan pihak berkuasa segera bertindak ke atas warga asing yang biadab ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette