Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan pada Majlis Pelancaran Program Karnival Sukan Antara Universiti 2018 di UPM, Serdang. foto FAREEZ FADZIL, 23 FEBRUARI 2018.

SERDANG – Biarpun laporan mengenai masalah beg sekolah berat telah dibentangkan kepada Kabinet, namun Kementerian Pendidikan mengambil pendirian menggesa agar laporan berkenaan dikaji semula.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, ada beberapa cadangan yang boleh digunapakai antaranya pihak sekolah dinasihatkan agar memberitahu pelajar untuk membawa buku teks yang dijadual sahaja bagi menangani masalah beg sekolah yang berat.

“Menteri Pendidikan telah meminta bahagian berkenaan untuk semak balik cadangan yang telah dibentangkan di mesyuarat.

“Ada beberapa cadangan yang telah dibentangkan dan ada juga kajian yang dilaksanakan di seluruh sekolah di negara ini.

“Dapati ada kebenaran dengan dakwaan bahawa beg berat kerana ada beberapa tahap yang telah ditetapkan di peringkat antarabangsa tentang berat beg sekolah yang sepatutnya berdasarkan umur pelajar,” katanya kepada media selepas mengiringi Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin merasmikan Karnival Sukan Antara Universiti 2018 di Universiti Putra Malaysia hari ini.

Januari lalu, Kamalanathan berkata, kajian itu bertujuan mencari kaedah terbaik bagi menangani masalah terbabit.

“Kami akan teruskan memantau atas kehendak yang telah ditetapkan.

“Antara cadangannya adalah pelajar harus mengikut jadual harian, dan hanya buku teks sahaja. Cadangan itu boleh diamalkan tetapi untuk pelajar sekolah rendah, beg mereka seharusnya ringan,” katanya.

Dalam kajian Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences Vol. 1 (1) Januari 2005 hingga 2007, mendedahkan beban beg sekolah dan kesannya ke atas otot dan sakit tulang belakang berlaku dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah di negara ini.

Memetik laporan Berita Harian, dalam kajian oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) turut mendapati 58.3 peratus murid sekolah yang dikaji mengadu sakit belakang yang dikaitkan dengan membawa beg sekolah berat, selain ada kajian mendedahkan masalah beban berat akan menyebabkan tulang belakang murid menjadi bengkok. -MalaysiaGazette