Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Menteri Pertanian Industri Asasi Tani, Datuk Seri Shabery Cheek melawat gerai jualan pada Program Jualan Sentuhan Rakyat di Desa Pandan, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 24 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) berjanji akan memastikan harga barang keperluan dikawal sebaiknya demi kepentingan pengguna.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu turut menegaskan, hanya barangan keperluan yang telah diproses oleh peniaga sahaja yang tidak boleh dikawal oleh kerajaan.

Oleh itu, katanya, pengguna tidak seharusnya menyalahkan kerajaan sekiranya barangan keperluan yang diproses melambung tinggi dek sentimen keuntungan yang dimainkan peniaga.

“Dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kita akan pastikan barang keperluan seperti beras, gula, minyak masak, tepung, ikan, ayam dikawal sebaik mungkin.

“Tapi pengguna kena faham jika barangan ini menjadi makanan yang telah diproses, yang itu kita tidak boleh kawal.

“Itu kita boleh kawal, tetapi bila barangan keperluan itu telah diproses, agak sukar untuk kerajaan kawal makanan proses dan kerajaan pantau sekiranya membebankan rakyat,” katanya dalam ucapan pada program Jualan Jalinan Rakyat BN yang diadakan di kawasan beliau hari ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Program Jualan Sentuhan Rakyat di Desa Pandan, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 24 FEBRUARI 2018

Malah menurut Johari, sekiranya terdapat peniaga yang mengenakan GST terhadap barangan keperluan yang dikawal oleh kerajaan, pengguna perlu tampil membuat laporan agar tindakan boleh diambil kepada peniaga rakus berkenaan.

“Mana-mana penjual yang menjual barangan ini mengenakan GST, beritahu kepada kerajaan dan lesen mereka tidak akan diperbaharui,” katanya lagi.

Hadir sama dalam program itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Shabery Cheek dalam program sama berkata, kerajaan dalam proses untuk menyelesaikan isu kekurangan bekalan ikan bermusim sebagaimana ikan kembung yang harganya didapati naik mendadak sejak akhir-akhir ini.

Ujarnya, ia perlu bagi menangani rungutan daripada pengguna yang dibebani dengan kenaikan harga pelbagai jenis ikan di negara ini.

Menteri Pertanian Industri Asasi Tani, Datuk Seri Shabery Cheek berucap pada Program Jualan Sentuhan Rakyat di Desa Pandan, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 24 FEBRUARI 2018

“Kita mencari teknologi yang dapat menyelesaikan masalah. Kita kena fikir bagaimana nak selesaikan masalah kekurangan ikan bermusim.

“Kita cari langkah untuk tangani kerana persepsi masyarakat apabila harga ikan kembung mahal, harga ikan lain akan turut mahal,” katanya lagi.

Sebelum ini, harga ikan kembung di Kedah melonjak naik sehingga mencecah RM20 sekilogram dipercayai disebabkan kekurangan hasil tangkapan ekoran cuaca tidak menentu. -MalaysiaGazette.