ALOR SETAR – “Saya tidak akan melayan apa-apa tuduhan atau serangan peribadi terhadap saya. Itu bukan tugas saya nak jawab semua tohmahan. Apa sahaja cerita, fitnah saya tidak kisah, yang penting saya nak bawa masa depan Kedah,” tegas Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
“Biarlah mereka selagi ia tidak mengganggu tugas saya sebagai Menteri Besar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi BN negeri dalam menghadapi PRU14 (pilihan raya umum ke-14),”jelas beliau berhubung pelbagai dakwaan negatif terhadapnya sebagai Menteri Besar Kedah sejak memegang jawatan itu dua tahun lalu.
Katanya pelbagai dakwaan terutama yang dibawa oleh pembangkang adalah tidak tepat kerana pembangkang hanya mahu mengelirukan rakyat dengan tuduhan yang direka-reka dan fitnah.
“Rakyat kena tengok, lepas itu dengar, lepas dengar buat penilaian. Pembangkang cuba kelirukan rakyat dengan pelbagai tuduhan, bukan saja isu negeri tapi isu persekutuan juga,” katanya dalam wawancara khas dengan Bernama di sini.
Ahmad Bashah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah pada 4 Feb 2016, selepas Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan setelah hilang sokongan majoriti di DUN.
Beliau berkata, tumpuan kerajaan negeri hanya kepada rakyat kerana UMNO dan BN Kedah pernah mengalami pengalaman pahit apabila tewas pada PRU 2008 dan hilang kuasa sebagai kerajaan negeri, dan kerana itu mereka mahu memastikan peristiwa seperti itu tidak berulang pada PRU kali ini.
“Saya pesan dah dua tiga kali (kepada pimpinan UMNO dan BN), PRU 2008 dulu kita kalah, kita pernah mengalami kekalahan, bagaimana rasa jadi pembangkang di Kedah.
Jadi jangan ulang perkara yang merugikan kita dan menyusahkan rakyat Kedah,” katanya.
Beliau berkata, selepas BN memenangi kembali Kedah pada 2013, harapan rakyat terhadap BN adalah tinggi tetapi semuanya memerlukan perancangan jangka masa panjang untuk dilaksanakan.
“Jangan nafikan apa (usaha untuk rakyat) yang kita buat, tapi ada yang cuba kelirukan rakyat dia kata tak buat apa. Saya nak habaq (beritahu) ada projek sudah ‘take off’ (dimulakan), ada yang sudah dirancang dan dilaksanakan, kita nak supaya depa (mereka) sekali lagi beri kepercayaan (pada PRU14),” katanya.
Ahmad Bashah berkata sejak memegang jawatan Menteri Besar Kedah, beliau telah memperkenalkan konsep ‘Muafakat Kedah’ yang akan menjadi wadah dalam membawa masa hadapan Kedah.
“Kalau semua rakyat berpakat, semua orang bermuafakat segala perancangan dan apa kita harap boleh berlaku dan boleh kita laksanakan…sebab itu kita perlu permuafakatan dalam konteks apa pun. Konsep dulu usung rumah, rumah kita boleh ubah dari satu tempat ke satu tempat kerana konsep muafakat.
“Jadi tidak mustahil kalau kita hendak berjaya permuafakatan paling penting…lepas itu rakyat kena ada kepercayaan dan keyakinan baru boleh dengan perancangan,” katanya.
Antara usaha terpenting yang dilakukan kerajaan negeri yang diterajui Ahmad Bashah dalam membantu kehidupan rakyat di negeri ini adalah memperkenalkan Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) bagi meringankan beban keluarga miskin dalam menangani peningkatan kos sara hidup.
“Kita buat program ini kita salur kepada rakyat, Barakah ini menyeluruh, kita tengok keperluan rakyat sekarang ini.
Kita nampak dari segi kos sara hidup, barang dapur, nak berniaga, pinjaman perniagaan yang itu pun dalam Barakah. Maknanya kita nak tengok keperluan.
“Barakah ini disalur seluruh Kedah, beg sekolah, basikal, cermin mata kepada 150,000 warga emas yang perlu cermin mata..jadi kita tidak kira siapa..tidak kisah parti politik. Saya sudah minta JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung), jangan pilih bulu kalau patut ditolong bukan hanya Melayu..Cina, India, bukan Melayu,” katanya.
Barakah, yang dilancarkan selepas dua bulan Ahmad Bashah menjadi Menteri Besar menyelaraskan sumbangan dan bantuan rakyat Kedah dan disalurkan kepada golongan sasar menerusi lima komponennya – Barakah Insan, Barakah Kemasyarakatan, Barakah Usahaniaga, Barakah Anak Muda serta Barakah Pendidikan dan Modal Insan. – MalaysiaGazette