KUALA LUMPUR – Kertas siasatan terhadap pemuzik kontroversi Namewee berhubung klip video berunsur hinaan yang dimuat naik menerusi media sosial akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata perintah reman terhadap penyanyi rap itu juga tamat hari ini.

“Polis akan menunggu arahan selanjutnya daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, di sini hari ini.

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. foto AQIRA AZEMI.

Beliau mengulas perkembangan kes Namewee, 34 atau nama sebenarnya Wee Meng Chee yang direman sejak Jumaat lalu selepas ditahan polis pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung satu klip video berunsur hinaan terhadap agama yang boleh membawa implikasi negatif kepada perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

Namawee dikatakan memuat naik klip video yang didakwanya bersempena Tahun Baharu Cina yang antara lain memaparkan sekumpulan individu memakai topeng anjing melakukan tarian berbaur lucah berdekatan Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata Polis Diraja Malaysia bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi menangani kes jenayah komersial membabitkan penggunaan mata wang kripto seperti bitcoin.

“Bagaimanapun, jumlah kes membabitkan bitcoin masih terkawal iaitu hanya lima kes dilaporkan,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata JSJK juga telah menubuhkan pasukan khas bagi menangani kes jenayah siber termasuk jenayah komersial yang semakin membimbangkan dan meningkat sejak kebelakangan ini.

Katanya sebanyak 28,271 kes jenayah komersial dilaporkan sepanjang tahun lepas dan sebanyak 6,417 kes berjaya didakwa.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyampaikan sijil penghargaan kepada 14 pegawai JSJK atas kecemerlangan dan kejayaan dalam menjalankan tugas. – BERNAMA