Home Utama Pekerja cedera kren tumbang di MRR2

Pekerja cedera kren tumbang di MRR2

Kren tumbang di atas MRR2 berhampiran Dataran Ukay hingga menyebabkan kesesakan teruk.

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja yang terlibat dalam projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) cedera selepas kren bergerak di tapak projek tumbang di Jalan Lingkaran Tengah (MMR2) dekat Dataran Ukay pagi tadi.

Kejadian itu tidak melibatkan pengguna jalan raya yang lain.

Difahamkan kejadian itu berlaku semasa MRR2 yang menghala ke Ampang sesak kerana waktu puncak.

Mangsa, seorang warga tempatan yang berada di tempat kejadian sempat melompat semasa kren tersebut tumbang.

Sehingga berita ini ditulis, kawasan berkenaan masih sesak tetapi terkawal dan hanya lorong kanan sahaja dibuka.

Kren itu tumbang ketika sedang mengangkat cerucuk bagi kerja-kerja pembinaan struktur dinding lebuh raya tersebut tetapi hilang imbangan dan jatuh di MRR2.

Kejadian tersebut menyebabkan batang kren melintang di atas jalan dan menutup lorong 2 dan 3. – MalaysiaGazette