Home Nasional Syarikat konsesi SUKE mohon maaf

Syarikat konsesi SUKE mohon maaf

KUALA LUMPUR – Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd mengesahkan laporan berkenaan kejadian kren terbalik di KM25.2 berhampiran Dataran Ukay.

Kejadian itu berlaku pada pukul 10 pagi tadi berpunca dari permukaan tanah yang menempatkan jentera tersebut tidak stabil.

Pemegang konsesi bagi Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) itu turut mengesahkan tiada kecederaan dan kerosakan harta awam yang dilaporkan berlaku.

“Pasukan kecemasan telah dikerahkan ke kawasan kejadian untuk memberi bantuan dan kerja-kerja pembersihan juga kini giat dijalankan bagi menyuraikan kesesakan trafik dengan kadar segera,” katanya sambil memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul berikutan kejadian tersebut.

Syarikat itu turut memberi jaminan bahawa keselamatan serta keselesaan orang awam dan penduduk di sekitar kawasan pembinaan Lebuhraya SUKE adalah menjadi keutamaannya. – MalaysiaGazette