PULAU PINANG – Padah meletakkan beg tangan di kerusi hadapan penumpang, seorang wartawan akhbar Cina kerugian kira-kira RM7,000 selepas disamun dua lelaki yang menaiki motosikal di Taman Impian Indah, Bukit Mertajam di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Lee Pei Pei,36, yang merupakan wartawan akhbar Kwong Wah Yit Poh turut cedera di tangan dan muka akibat ditumbuk penyamun terbabit.

Menurut Pei Pei, ketika kejadian dia dalam perjalanan menjemput rakannya untuk keluar makan tengah hari namun tersalah jalan ketika memasuki taman perumahan berkenaan.

Ketika cuba berpatah balik, katanya, dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal secara tiba-tiba menghampiri keretanya dan memecahkan cermin hadapan bahagian penumpang dengan sebatang besi sebelum mencapai beg tangannya.

“Terkejut dengan kejadian itu, saya cuba menarik beg tangan saya namun ditumbuk salah seorang lelaki berkenaan menyebabkan mata saya lebam.

“Saya juga cedera di bahagian tangan selepas bergelut dengan penyamun terbabit ketika cuba menyelamatkan beg tangan saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Pei Pei, akibat kejadian itu, dia kehilangan dua buah telefon pintar jenama Iphone dan Oppo selain wang tunai kira-kira RM3,000 iaitu wang `ang pao’ yang diterimanya ketika sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu polis kini giat mengesan suspek terlibat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkumpulan,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast