Datuk Azam Baki
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki

KEPALA BATAS – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang dalam proses mendapatkan khidmat perunding bebas untuk membuat penilaian berhubung kos kajian kebolehlaksanaan bagi projek melibatkan tiga jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihak SPRM sedang berbincang dengan beberapa perunding bebas dan masih belum memuktamadkannya.

“Kes-kes seumpama ini yang melibatkan hal-hal teknikal mengikut pengalaman kami ia akan mengambil masa lagi. Pihak kami sedang berbincang dengan pihak-pihak teknikal ataupun pihak konsultan untuk membuat penilaian berhubung dengan nilai kajian kebolehlaksanaan projek itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran Sahabat Cilik SPRM dan Maskot SPRM oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad di Sekolah Kebangsaan Hashim Awang, di sini, hari ini.

Azam berkata setakat ini sebanyak 127 saksi telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes projek itu dan beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil termasuk memanggil semula saksi-saksi yang telah memberi keterangan.- BERNAMA