Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika hadir pada sidang media Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Galeri PPBM Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2018.

PETALING JAYA – Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini ‘bagi pihak’ DAP bersuara menafikan dakwaan parti itu menerima dana daripada tokoh korporat Tan Sri Robert Kuok.

Menyifatkan penulisan daripada seorang penulis blog, Raja Petra Kamarudin sebagai fitnah, Mahathir menganggapnya ia sebagai strategi untuk memburukkan Robert.

“Jadi saya tanya DAP, awak dapat banyak duit ke? DAP kata tidak ada satu sen pun, tak dapat daripada Robert Kuok.

“Ini satu fitnah terhadap Robert Kuok. Ya Robert Kuok adalah orang yang terkaya sekali daripada Malaysia.. Tuduhan yang dibuat bahawa Robert Kuok beri duit sebelum ini adalah satu fitnah. Ini cuba burukkan seorang yang dengan cara tidak langsung menyumbang kepda negara kita.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas mesyuarat Majlis Presiden sebentar tadi.

Mahathir berkata, beliau tidak pernah menerima wang daripada Kuok semasa menjadi Perdana Menteri.

“Dulu kita tidak perlu banyak duit, kita tidak payah kena minta banyak.

“Jadi Robert Kuok masa itu tidak payah beri apa pun. Tidak ada,”menurutnya. – MalaysiaGazette