foto Agensi

KUALA LUMPUR –  Garis panduan jelas, berupa pengukuhan perundangan atau rangka kerja pengawalseliaan, adalah lebih baik daripada satu fatwa yang terburu-buru di fasa awal mata wang kripto, kata felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (Syarak), IKIM, Mohd Noor Omar berkata, garis panduan yang jelas adalah lebih diperlukan berbanding terburu-buru untuk memaksa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berkaitan hukum dan status halal atau haram terhadap transaksi mata wang kripto yang sedang hangat diperkatakan buat masa ini.

“Tidak perlu terburu-buru keluarkan fatwa kripto.

“Contoh rangka kerja pengawalseliaan seperti garis panduan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini adalah tepat. Ia menerangkan bahawa mata wang kripto kekal tidak diiktiraf sebagai mata wang sah diperlakukan, tetapi boleh digunakan apabila ada ketelusan dan pelaksanaan elemen Ketahui Pelanggan Anda (KYC),” kata beliau semasa Persidangan Meja Bulat Mata Wang Kripto dan Sistem Kewangan Digital, anjuran IKIM di sini hari ini.

Mohd Noor berkata pengeluaran fatwa terlalu awal berisiko menjejaskan kredibiliti institusi Islam sekiranya berlaku perubahan dalam industri.- BERNAMA