Pengerusi PLUS, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim bercakap kepada media pada Majlis Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Ops Selamat 12 Sempena Tahun Baru Cina di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 28 FEBRUARI 2018
KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sedang mengkaji teknologi baharu yang mampu meramal sebarang risiko kesesakan dan kemalangan di jalan raya.
Pengerusi PLUS, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim berkata, pelaburan dalam teknologi baharu itu melibatkan pelaksanaan data pengesan untuk meramalkan kemalangan lebih awal.
“Kita pada masa akan datang mahu menggunakan teknologi baharu untuk melicinkan dan menyediakan perkkhidmatan terbaik untuk pengguna lebuh raya di negara ini.
“Dengan teknologi ramalan kemalangan atau sebarang bencana di atas jalan dapat memudahkan kita pengguna dapat mengelak masalah dan merancang perjalanan supaya efisien,”katanya dalam sidang media di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau hadir ke Majlis Anugerah Kontinjen Terbaik dan Daerah Terbaik Ops Selamat 12 sempena sambuta Tahun Baru Cina 2018 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.
Dalam pada itu, Mohd. Sherif menegaskan, penambahan 16 kiosk tambah nilai Touch n’Go di semua Hentian Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang lebuhraya melicinkan aliranĀ  trafik tanpa kesesakan yang teruk semasa musim perayaan kali ini.
“Kita tidak menerima rungutan atau sebarang aduan mengenai kemudahan tambah nilai yang disediakan di lebih 2,000 lokasi seluruh negara.
“Malah pihak PLUS juga akan menyampaikan 15 buah Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) kepada Polis Diraja Malaysia sebagai usaha melancarkan operasi dalam menjamin keselamatan umum.
“Kita sedang dalam proses membeli 15 SUV itu yang menelan kos berjumlah RM2 juta dan ia akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Jun ini,” tegas beliau.
Sementara itu, Noor Rashid memanjangkan penghargaan kepada sumbangan PLUS sebagai usahasama kedua-dua pihak dalam menangani kemalangan dan kesalahan trafik di negara ini.
“Sebanyak 15 kenderaan SUV yang bakal kita terima itu satu sumbangan dan inisiatif PLUS untuk membantu polis melicinkan operasi penguatkuasaan dalam menjamin keselamatan awam,” katanya lagi.- MalaysiaGazette.