Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

PETALING JAYA – Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) enggan tunduk kepada desakan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya mengadakan pemilihan parti di peringkat cawangan dan bahagian, sebaliknya mendakwa diberikan layanan berat sebelah.

Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan tindakan RoS yang tidak pula mengambil tindakan terhadap UMNO walaupun menangguhkan pemilihan melebihi tempoh 18 bulan, sebaliknya mereka ditekan walaupun penubuhan belum masuk setahun lagi.

“Lain halnya dengan UMNO… UMNO dengan jelas telah melanggar perlembagaan partinya dengan melanjutkan tempoh penangguhan pemilihan parti melebihi 18 bulan.

“Hairannya RoS boleh pula membenarkan UMNO membuat keputusan yang bercanggah dengan perlembagaan parti,” kata beliau semasa sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.

Jelas Muhyiddin, sekiranya RoS mahu PPBM mengadakan pemilihan parti, mereka juga perlu menggesa supaya UMNO mengadakan pemilihan parti seperti mana yang diarahkan.

“Jika RoS bersikap adil, maka jawapan sama yang diberikan kepada PPBM mesti diberikan kepada UMNO iaitu mereka hendaklah mengadakan pemilihan parti mengikut tempoh yang ditetapkan oleh perlembagaannya. Ini baharu lah adil,” ujarnya.

Muhyiddin juga menggesa supaya RoS tidak berat sebelah apabila boleh memberikan pengecualian kepada UMNO tetapi tidak pula kepada PPBM.

“Jika RoS mempunyai kuasa budi bicara untuk memberikan pengecualian kepada UMNO, maka kuasa budi bicara yang sama sewajarnya digunapakai terhadap PPBM.

“Jadi, RoS seharusnya bersikap adil dan berhenti daripada mengugut untuk membatalkan pendaftaran PPBM,” katanya.

Pada 12 Januari lalu, Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya sedang menyiasat lebih 400 aduan yang diterima berkaitan isu perhimpunan agung tahunan (AGM) pertama PPBM.

RoS menerima ratusan laporan berhubung AGM tersebut daripada ahli-ahli PPBM yang mempersoalkan statusnya memandangkan tidak ada pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian diadakan. – MalaysiaGazette