Mohd Azizulhasni Awang ketika menjawab pertanyaan pada sidang media filem biopik Azizulhasni Awang di Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur hari ini.?--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang bertekad menebus kekecewaan apabila turun bertanding dalam acara 200m pecut pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia UCI 2018 di Apeldoorn, Belanda pada Sabtu.

“Sabtu ini merupakan acara terakhir saya iaitu 200m pecut dan saya bertekad memberikan persembahan terbaik dalam acara ini.

“Saya mengharapkan anda memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan saya,” jelas Mohd Azizulhasni dalam laman Instagrammya, @azizulawangofficial.

Terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’, beliau gagal mempertahankan gelaran juara dunia acara keirin selepas terkandas di pusingan penyisihan (repechage) pada Khamis.

Terdahulu, pada saringan keenam di pusingan pertama, Mohd Azizulhasni berada pada kedudukan ketiga dengan saingan dimenangi pencabar dari Columbia, Fabian Hernando Puertas Zapati yang meraih tiket automatik ke pusingan kedua.-BERNAMA