KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesiapsagaan pihak berkuasa dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) sudah mencapai tahap optimum.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, segala persiapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah PRU-14 telah direncanakan dari persediaan pembubaran Parlimen, tarikh PRU-14, penamaan calon dan proses pengundian.
“Saya tidak tahu bila PRU-14 tapi kita sediakan payung sebelum hujan untuk menentukan terjemahan makna demokrasi yang dimaksudkan.
“Saya tidak ada petanda, saya boleh komited 99.9 peratus sebab kita telah lakukan latihan perbincangan meja bulat, latihan fizikal sepenuhnya dan kemuncak latihan ini pada 3 Mac di seluruh negara,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan pengurusan PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur hari ini.
Lawatan kerja ke IPK KL hari ini tertumpu kepada kesiapsagsan pihak PDRM khususnya koordinasi antara IPK KL dan Putrajaya.
Jelas Ahmad Zahid, langkah itu bagi menentukan semua gerak kerja disusun atur mengikut piawaian yang telah ditentukan oleh Bukit Aman.
Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim.
Ujar Ahmadh Zahid, kesiapsagsan PDRM dalam PRU-14 sedikit berbeza dengan pilihan raya yang lalu dimana mereka juga mendapat kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita mahu pengundi di seluruh negara berada selamat dan melakukan kolaborasi dengan SPR bagi menentukan bukan hanya pengundi tetapi sistem lalulintasnya dan semua struktur dapat digemblingkan supaya PRU-14 lancar,” tambahnya.
Justeru, katanya, semua cuti pihak berkuasa telah dibekukan melibatkan semua pegawai dan anggota PDRM.
Arahan itu dikeluarkan KDN beberapa minggu yang lalu bagi melicinkan kesiapsagaan menghadapi PRU-14 tidak lama lagi. -MalaysiaGazette.