Pasukan penyelamat sudah digerakkan untuk mencari helikopter membawa Ebrahim Raisi yang hilang di barat laut Iran. Foto IRNA

TEHRAN – Koordinat geografi tepat helikopter yang membawa Presiden Ebrahim Raisi telah diketahui oleh pemantauan udara di wilayah tempat nahas itu berlaku.

Menurut IRNA, pasukan mencari dan menyelamat kini dalam perjalanan ke tapak kemalangan yang dipanggil “Tawil”.

Berita itu, bagaimanapun, masih belum disahkan oleh sumber rasmi.

Sementara itu, kenderaan udara tanpa pemandu altitud tinggi tahan lama Turki bernama Akinji turut mengesan titik panas yang mungkin menjadi tempat helikopter itu terhempas.

Seorang komander Kor Pengawal Revolusi Iran mengesahkan pengesanan lokasi oleh dron melalui sumber haba yang dipercayai serpihan helikopter itu.

Walaupun keadaan cuaca buruk, pasukan penyelamat mengejar masa untuk mencari lokasi tepat helikopter hilang yang membawa Presiden Iran dan delegasinya di bahagian barat laut negara itu.

Pasukan penyelamat, termasuk angkatan tentera, sedang memasuki kawasan berbatu dan berbukit berhampiran bandar Varzaqan di wilayah Azerbaijan Timur dan mengecilkan radius pencarian mereka walaupun cuaca berkabus dan hujan.

Terdahulu, Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS) berkata, ia telah menghantar lebih banyak kumpulan untuk membantu mengesan nahas itu.

“Seramai 46 pasukan respons pantas dan penyelamat dari wilayah Azarbaijan Timur, Tehran, Alborz, Ardabil, Zanjan dan Azerbaijan Barat telah digerakkan untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Ketua Operasi IRCS, Razieh Alishvandi berkata, empat pasukan khusus kini berada berhampiran lokasi nahas tetapi mereka menghadapi kesukaran untuk terus menghampiri lokasi kerana cuaca buruk.

Semasa kejadian, Presiden Ebrahim dalam penerbangan pulang bersama Menteri Luar Hossein Amirabdollahian dan beberapa yang lain dari upacara perasmian empangan di sempadan Iran dengan Republik Azerbaijan. – Agensi