Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menunjukkan laporan polis yang dibuat beliau susulan dakwaan terima RM3 Juta oleh syarikat terowong dasar laut di Pulau Pinang di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, Selangor. foto AQIRA AZEMI, 02 MAC 2018.

SHAH ALAM – “Saya jadi mangsa sindiket jual nama atas dakwaan menerima suapan RM3 juta daripada syarikat Zenith,” kata Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menurutnya, beliau tidak pernah berurusan dengan Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. dan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang juga syarikat kontraktor projek terowong bawah laut Pulau Pinang itu yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya menjadi mangsa orang jual nama dan saya harap hari ini akan jadi titik nokhtah dengan adanya laporan polis yang saya buat dan saya percaya semua pihak akan menyiasat secara telus.

“Macam-macam kaedah yang boleh diguna pakai (sindiket penjualan nama),” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis Shah Alam hari ini.

Antara penyokong-penyokong yang hadir memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ketika beliau membuat laporan polis susulan dakwaan terima RM3 Juta oleh syarikat terowong dasar laut di Pulau Pinang di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, Selangor. foto AQIRA AZEMI, 02 MAC 2018.

Pada 27 Februari lalu, Zenith mengeluarkan surat tuntutan kepada Abdul Azeez selaku Pengerusi Lembaga Tabung Haji dan ahli perniagaan N Gnanaraja masing-masing bernilai RM3 juta dan RM19 juta.

Jumlah berkenaan didakwa dibayar Zenith kepada dua pihak berkenaan bagi khidmat rundingan pengurusan risiko dan pematuhan peraturan berhubung projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer.

Abdul Azeez selaku Ahli Majlis Tertinggi UMNO juga sedia bekerjasama dengan semua pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan salah laku rasuah berkenaan.

“Sebagai rakyat Malaysia yang penuh bertanggungjawab, saya sedia untuk memberi sebarang kerjasama kepada pihak polis mahupun pihak SPRM atau pihak-pihak berwajib kerana penafian saya ini adalah mutlak,” jelas Ahli Parlimen Baling itu.

Beliau juga mengulangi penafiannya tidak pernah menerima suapan berkenaan dan tidak pernah menerima surat tuntutan peguam daripada syarikat dan individu berkenaan.

“Saya menafikan telah menerima surat tersebut pada 27 Februari dan surat tuntutan daripada peguam tersebut dan minta saya jawab dalam tempoh tujuh hari.

“Pada 27 Februari sebelah malam saya telah memaklumkan kepada semua media saya nafikan perkara tersebut, bahawa saya tiada apa-apa urusan dengan Zenith mahupun Datuk Zarul malah tidak pernah berjumpa dalam hal ini,” katanya.

Katanya, beliau menasihatkan syarikat peguam yang mendakwa menghantar surat tuntutan itu supaya berurusan dengan peguam yang mewakili beliau.

“Saya harap tiada pihak-pihak nak menularkan pelbagai fitnah terhadap saya. Saya telah melantik peguam saya Datuk Seri Jahaberdeen atau Jahaberdeen & Co untuk mengambil alih kes saya.

“Saya akan teruskan segala tindakan atas nasihat peguam saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

Saya tak pernah berurusan dengan Zenith – Azeez

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast