KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad tidak berhasrat memanjangkan polemik berhubung kenyataan beliau mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).
Tegasnya, apa yang disampaikan beliau kepada umum hanya pandangan berdasarkan fakta yang diketahuinya dan tidak berniat mencabar mana-mana pihak berhubung kontroversi berkaitan isu tersebut.
“Saya tidak mahu mencabar sesiapa pun dalam perkara ini. Saya hanya memberikan perspektif yang benar,” katanya seperti yang dilaporkan portal berita.
Semalam, Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussin, yang mendakwa Madinah tidak bercakap benar berhubung beberapa perkara yang dibangkitkan berkaitan prosiding RCI berkenaan.
Menurut Madinah, Rashid berhak menyuarakan pandangannya sebagai seorang yang pernah menganggotai RCI tersebut.
“Beliau bercakap sebagai ahli RCI. Jadi saya tidak boleh menyangkal atau mencabar apa yang beliau katakan.
“Tetapi dari segi fakta dan perspektif, bagaimana beliau melihat sesuatu perkara dan bagaimana saya melihatnya, memang ada perbezaan,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa beliau tidak dibenarkan menyertai prosiding kerana hadir bersama Timbalan Pengarah Bahagian Audit Kewangan ketika itu, Mona Othman, Madinah menjelaskan kehadiran pegawai berkenaan hanya sebagai rujukan sekiranya terdapat keperluan mendapatkan penjelasan berkaitan aspek teknikal audit.
Katanya, Mona tidak pernah dimaksudkan untuk memberikan keterangan atau menjawab soalan bagi pihak beliau.
Sehubungan itu, beliau meminta agar fakta berhubung perkara tersebut tidak disalah tafsir sehingga menimbulkan persepsi bahawa beliau mahu membawa pegawai berkenaan memasuki prosiding.
Dalam perkembangan sama, Madinah turut mempersoalkan tindakan menjadikan afidavit yang dikemukakannya sebagai pengganti kepada peluang memberikan keterangan secara lisan di hadapan panel RCI.
Menurut beliau, walaupun afidavit berkenaan telah diserahkan dan diterima pada 1 April ketika itu, dokumen tersebut tidak seharusnya menggantikan sesi untuk beliau menjelaskan perkara berkaitan secara langsung.
Sebelum ini, ketika berucap pada forum “Musyawarah Nasional 2.0: Realiti atau Persepsi: Jangan Politikkan Tabung Haji” di Kuala Lumpur pada 25 Ogos lalu, Madinah mendakwa beliau tidak diberi peluang untuk memberikan keterangan secara lisan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Tabung Haji walaupun telah disapina untuk menghadiri prosiding berkenaan.
Beliau turut berpendapat afidavit yang dikemukakan tidak seharusnya menggantikan sesi pendengaran lisan. -MalaysiaGazette
















