Timbalan Ketua Pesuruhjaya (operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Street Warriors Against Corruption (SWAC) anjuran SPRM bersama Bikers Himpunan Dua Roda Gerah (H2R), Bikers Tolak Korupsi di MAEPS Serdanag, Selangor. foto IQBAL BASRI, 03 MAC 2018.

SERDANG – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas projek terowong dasar laut di Pulau Pinang tidak memihak mana-mana pihak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) agensi itu Datuk Seri Azam Baki berkata, suruhanjaya itu mengambil pendekatan yang profesional dalam siasatan dilakukannya.

“Dalam siasatan kita kita konsisten dalam tindakan kami dan pihak saya memberi jaminan siasatan dijalankan dengan telus dan profesional, tidak ada siasatan yang memihak mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas hadir semasa Himpunan Dua Roda (H2R): Bikers Tolak Korupsi 1.0.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan secara berterusan dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini bahawa SPRM bertindak berat sebelah dalam isu tersebut.

Dalam pada itu, Azam berkata, penahanan ‘datuk’ terbaru yang didakwa menerima RM3 juta bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di negeri itu turut melibatkan rampasan dokumen untuk bantuan siasatan selain aset.

“Bila kita siasat memang melibatkan rampasan dokumen terhadap kedua-dua pihak yang kita ada.

“Kita ada sita kedua-dua harta mereka, akaun. Saya tidak boleh nyatakan tapi jumlahnya jutaan ringgit.

“Kita sedang mengesan wang-wang yang diterima itu di mana diletakkan dan tindakan kita adalah menyita akaun kedua-dua Datuk sama ada akaun peribadi dan melibatkan syarikat,” ujarnya.

Febuari lalu, agensi itu menahan seorang ahli perniagaan yang disyaki menerima wang berjumlah RM19 juta dalam projek terowong dasar laut termasuklah membekukan empat akaun bank milik syarikat lelaki itu. -MalaysiaGazette