Home Nasional Fokus kembalikan kegemilangan FGV

Fokus kembalikan kegemilangan FGV

Zakaria
Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR – Tidak mahu menoleh ke belakang lagi, Datuk Zakaria Arshad berikrar untuk terus bekerja keras untuk mengembalikan kegemilangan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Beliau yang ditemui baru-baru ini mahu memadam terus kisah-kisah buruk berkaitan FGV kerana syarikat perladangan milik Felda itu kini dalam landasan baik untuk merekodkan prestasi cemerlang dalam tempoh terdekat ini.

Beliau yang kembali semula menduduki kerusi panasnya pada 16 Oktober lalu selepas diarahkan bercuti 6 Jun lalu mengakui semakin berhati-hati-hati dalam menambah baik prestasi kerja dengan menekankan aspek akauntabiliti, tadbir urus dan ketelusan tahap tertinggi.

“Saat-saat getir sudah berlalu dan apa yang boleh saya katakan sekarang FGV sedang melalui fasa-fasa pembaikan dengan baik.

“Dengan kerjasama yang sangat baik daripada Pengerusi FGV (Datuk Azhar Abdul Hamid), Insya-Allah dengan usaha dan komitmen bersama, FGV akan berada pada tahap yang sepatutnya,” katanya dengan penuh yakin.

Beliau turut melahirkan rasa terharu di atas kepercayaan berterusan warga peneroka Felda terhadap pengurusan FGV.

“Apa pun berlaku di luar sana, peneroka Felda percaya akan kami dan ini dibuktikan dengan sokongan berterusan,” ujarnya yang cukup optimis masa depan FGV lebih cerah.

FGV merekodkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 60 peratus kepada RM417 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember lalu berbanding RM260 juta pada tahun 2016.

Prestasi itu dipacu oleh sektor perladangan, logistik dan sektor-sektor lain.

Zakaria berharap pencapaian prestasi kewangan FGV terus meningkat dengan konsisten supaya nilai saham FGV sebanyak RM4.55 sesaham dapat dikembalikan menjelang tahun 2020.

FGV disenaraikan pada bulan Jun 2012 – pernah mencatatkan rekod penyenaraian awam kedua terbesar di dunia selepas Facebook dengan meraih Tawaran Awal Permulaan (IPO) sebanyak RM10 bilion. – MalaysiaGazette