Abdul Azeez ketika sidang media di TH Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

PULAU PINANG – Syarikat pemaju terowong dasar laut, Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (Zenith) didakwa menarik balik notis tuntutan yang dibuat terhadap Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung dakwaan menerima RM3 juta berkaitan projek tersebut.

Perkara itu disahkan sendiri Abdul Azeez yang memaklumkan, Zenith menerusi peguam mereka turut memohon maaf kepada beliau selepas namanya turut terpalit dalam projek kontroversi tersebut.

Menurut Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, menerusi surat daripada peguam Zentih yang diterimanya semalam, syarikat kontraktor terbabit turut berjanji akan membersihkan namanya daripada fitnah berkenaan.

“Malah, pihak Zenith turut mengakui saya menjadi mangsa kepada pihak tertentu yang menjual nama saya dalam isu terowong dasar laut ini.

“Sedangkan saya sebelum ini tidak ada kena-mengena atau pernah terlibat sama ada dalam projek terowong dasar laut yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang ini atau dengan pihak Zenith,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Lembaga Tabung Haji, Bayan Lepas di sini hari ini.

Abdul Azeez sebelum ini menerima notis tuntutan daripada peguam Zenith yang menuntut RM3 juta selepas kononnya dijanjikan boleh menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap isu terowong oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Selain beliau, seorang lagi ahli perniagaan turut didakwa menerima RM19 juta daripada Zenith bagi tujuan sama dan kini direman SPRM bagi membantu siasatan.

Ekoran itu, Abdul Azeez yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji membuat laporan polis di ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 9.30 pagi 2 Mac lalu.

Sementara itu, Abdul Azeez menegaskan, beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dalang utama yang menggunakan namanya dalam isu terbabit.

Menurutnya, beliau juga akan meneliti tindakan susulan terhadap pihak-pihak yang berterusan memburukkan namanya, institusi UMNO dan Tabung Haji ekoran fitnah yang dilemparkan terhadap beliau.

“Tindakan ini perlu diambil bagi mempertahankan institusi UMNO dan Tabung Haji yang kini diserang pihak tertentu khususnya pembangkang dengan mengaitkan fitnah yang dilemparkan terhadap saya.

“Malah, ketika ini juga sudah ada gerakan untuk menghasut penduduk di Parlimen Baling kononnya segala bantuan yang diterima mereka selama ini adalah hasil wang rasuah saya dalam isu projek terowong ini,” katanya.