Ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang dipercayai terlibat menerima wang berjumlah RM19 juta bagi menutup siasatan projek mega terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM3.6 bilion dibawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya untuk mendapatkan lanjutan perintah tahanan reman selama lima hari. foto IQBAL BASRI, 05 MAC 2018.

PUTRAJAYA – Ahli perniagaan berpangkat ‘Datuk Seri’ yang di dakwa menerima suapan sebanyak RM19 juta untuk menutup kes siasatan pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang disambung reman selama lima hari lagi bermula esok sehingga Sabtu ini.

Majistret Nik Muizzuddin Nik Muhammad membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh reman suspek itu bagi membolehkan suruhanjaya tersebut menyambung siasatan terhadap projek mega bernilai RM6.3 bilion itu.

Suspek dengan tangan bergari dan berpakaian lokap SPRM tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.20 pagi.

Turut bersama suspek ialah isterinya yang juga merupakan seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Isteri suspek pernah dilanda kontroversi berhubungan penipuan pertukaran mata wang asing mencecah RM80 juta pada tahun lalu.

Suspek yang berusia 37 tahun yang mendakwa dirinya mempunyai hubungan rapat dengan beberapa ahli korporat dan ahli politik berpengaruh di negara ini ditahan reman sejak 28 Februari lepas.

Dengan menggunakan alasan tersebut, suspek telah mengadakan pertemuan dengan seorang pengarah syarikat pembinaan yang ketika itu sedang disiasat SPRM sebelum menawarkan bantuan untuk menutup kes tersebut dengan ‘bayaran’ tertentu.

Menurut sumber, syarikat berkenaan kemudian membayar suspek sebanyak RM19 juta secara berperingkat pada Julai dan Ogos tahun lalu.

“SPRM menjalankan siasatan terhadap kajian projek mega di Pulau Pinang itu dan suspek berkemungkinan menyakinkan syarikat pembinaan utama itu bahawa dia mampu menutup dan menyelesaikan siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

“Pembayaran sebanyak RM19 juta sudah dilakukan dengan pembayaran pertama sebanyak RM2 juta pada Julai tahun lalu di rumah suspek itu sendiri.

“Bayaran kedua melibatkan RM15 juta pula dilakukan kepada sebuah syarikat pada bulan sama dengan disusuli pembayaran ketiga dan terakhir pada Ogos lalu,” kata satu kenyataan SPRM baru-baru ini.

Suspek yang baru-baru ini juga mendakwa dirinya pelakon lelaki filem tempatan berbahasa Tamil mengejutkan pelbagai pihak dengan mengeluarkan trailer filem ‘bajet tinggi’ selain kerap menaja peraduan ratu cantik serta fesyen.

Pada Jumaat lalu, seorang lagi suspek dari Pulau Pinang ditahan atas dakwaan yang sama, cubaan untuk menutup siasatan SPRM ke atas projek mega terowong dasar laut dengan menerima wang suapan sebanyak RM3 juta pada tahun lepas.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan berasingan bagi menyiasat kedua-dua induvidu ini yang dipercayai ‘mampu’ menutup siasatan.

Kata Azam Bakri, siasatan je atas kedua-dua individu masing-masing ahli perniagaan yang ditahan reman itu akan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan.

“Kedua-dua kes ini tidak saling tidak berkaitan kerana dua induvidu ini terbabit dikatakan menerima sejumlah wang sebagai suapan untuk menutup kes sisatan SPRM ke atas projek terowong dasar laut.

“Lebih wajar untuk siasatan ke atas kedua-dua mereka dibuat secara berasingan berbanding siasatan sedia ada ke atas projek mega ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast