Tan Sri Noh Omar. foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyalahkan UMNO dalam isu tanah peneroka Ijok tidak wajar walhal mereka yang membayar pampasan tinggi kepada pemaju tersebut dalam penyelesaian luar mahkamah, kata Tan Sri Noh Omar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu membidas Azmin kerana membuat tuduhan kononnya syarikat yang terlibat dalam isu tanah di Ijok adalah kroni UMNO sedangkan kerajaan negeri yang membayar kepada kedua-dua syarikat yang pada awalnya tanah mereka itu sudah dilucut hakmilik selepas kalah kes di mahkamah.

“Kalau syarikat kroni UMNO kenapa dia (Azmin) pergi tolong?” kata beliau semasa ditemui di Dewan Rakyat hari ini.

Dua syarikat itu yang dibayar pampasan kerajaan Selangor ialah Mujur Zaman Sdn. Bhd. dan LBCDN Develoment Sdn. Bhd. yang mana Penyelaras Deklarasi Rakyat Datuk Khairuddin Abu Hassan mempunyai jawatan tinggi dalam syarikat itu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan wujudnya perjanjian di belakang sehingga Azmin sanggup menyebelahi pihak pemaju dan menekan rakyat di Ijok.

“Oleh itu, mana baki 700 juta? Siapa yang dapat? Rumah baru, mana barunya?

“Rumah contoh pun tak ada, tapak pun tak tahu dekat mana, jadi ini semua gara-gara nak lebihkan kepada pemaju, nak menekan rakyat, sebab ada urus niaga di belakang sebab nak pilihan raya umum ni,” ujarnya.

Terdahulu, Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin tampil mendedahkan sebuah syarikat guaman yang dimiliki pemimpin PKR dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dilantik dalam penyelesaian skandal tanah Ijok.

Selain itu, Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To Choong juga mempertikai langkah tersebut kerana menimbulkan pelbagai persoalan yang masih gagal dijawab sehingga sekarang.

Choong turut membangkitkan persoalan sama ada firma guaman dilantik itu ada memaklumkan kepada semua peneroka bahawa tanah mereka akan dijual kepada dua syarikat pemaju terbabit pada harga RM1.18 bilion, yang mana golongan berkenaan hanya mendapat RM300 juta, manakala bakinya adalah milik pemaju terbabit.

Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Mohamed Azmin juga didesak menjelaskan isu tanah bernilai RM1.18 bilion yang dijual kepada dua syarikat pada tahun 2016.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, keputusan itu dibuat sebelum kes didengar di Mahkamah Persekutuan.– MalaysiaGazette