KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) menyokong keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa bidang kuasa perlu diberikan secara jelas kepada mahkamah syariah untuk mendengar permohonan bagi membuat pengisytiharan seseorang itu bukan lagi beraga Islam.
Sehubungan itu, PAN bersetuju kenyataan media Pakatan Harapan (PH) Sarawak supaya kerajaan negeri itu dan negeri lain di Malaysia di mana bidang kuasa berkenaan tidak dinyatakan sebagai bidang kuasa Mahkamah Syariah secara jelas, hendaklah membuat pindaan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing.
Menurut Presiden PAN, Mohamad Sabu, cadangan itu supaya polemik seperti yang berlaku di Sarawak dapat dielak pada masa akan datang.
Katanya, keperluan itu timbul berikutan dari keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Februari lalu yang dibuat oleh panel lima Hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.
Jelas Mohamad, keputusan itu telah menetapkan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan mengenai kes-kes berhubungan dengan pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.
“Dalam kes yang difailkan oleh Syariffah Noorffyzza Wan Hosen dan empat orang yang lain selaku perayu terhadap Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak dan tiga pihak yang lain, Mahkamah Persekutuan tersebut telah turut menetapkan bahawa hanya Mahkamah Syariah sahaja mempunyai bidang kuasa atau jurisdiksi bagi menentukan seseorang itu Islam atau bukan Islam.
“Keputusan ini telah menerima liputan meluas dan mengundang banyak pandangan sama ada dari parti-parti politik, NGO dan orang perseorangan. Pihak perayu dalam kes ini berhujah bahawa ia terpaksa dibawa ke Mahkamah Sivil kerana Mahkamah Syariah Negeri Sarawak tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengarnya.
“Mahkamah Persekutuan bersetuju peruntukan ini tidak dinyatakan dengan jelas, namun Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 menyatakan Mahkamah Syariah Negeri Sarawak mempunyai kuasa mengenai kemasukan seseorang bukan Islam kepada Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Oleh itu, menurut Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu, secara tersiratnya bidang kuasa untuk mendengar permohonan mengenai status Islam atau bukan Islam seseorang itu terletak juga dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Kata beliau, meneliti reaksi yang dibuat oleh semua pihak, sama ada parti politik, NGO Islam dan individu Islam, secara tersirat yang mereka mahukan ialah supaya Mahkamah Sivil tidak campur tangan dalam perkara atau urusan agama Islam.
“Mereka mahu supaya isu mengenai orang Islam hanya diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Keputusan Mahkamah Persekutuan itu melalui kes ini juga telah menghantar satu isyarat jelas bahawa mahkamah sivil tidak berminat campur tangan dalam urusan mengenai agama Islam atau dalam perkara di mana mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikannya sejajar peruntukan dalam Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.
“Ia mesti diselesaikan di mahkamah syariah sendiri. Jangan pula nanti ada pihak yang menyatakan peruntukan ini akan memudahkan orang Islam untuk murtad atau keluar dari agama Islam kerana yang akan menentukan sama ada seseorang itu beragama Islam atau bukan ialah hakim-hakim mahkamah syariah sendiri yang semestinya faqih dalam hukum-hukum Islam.
“Adakah pihak yang membuat tuduhan liar ini tidak yakin dengan kemahiran hakim-hakim mahkamah syariah? Dan adakah mereka ingin persoalan ini diselesaikan di tempat selain dari mahkamah syariah?” ujar beliau. – MalaysiaGazette