Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar mengiringi Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Negeri Selangor di Dataran Kampung Sungai Chik, Ulu Yam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2018.

HULU SELANGOR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata semua kepimpinan dan pengundi negeri ini harus berpegang kepada prinsip bahawa parti itu boleh merampas negeri ini daripada tangan Pakatan Harapan (PH).

Noh sebagai Pengerusi BN Negeri berkata, beliau terharu dengan langkah Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadikan Selangor sebagai negeri pertama untuk melancarkan jentera parti BN.

Justeru, katanya, rakyat Selangor harus melihat kesungguhan BN untuk mentadbir kembali negeri termaju di Malaysia ini dengan memberikan undi kepada BN.

“Saya amat terharu kerana kehadiran Najib turun ke negeri seluruh negara hanya negeri pertama yang dilancarkan jentera BN untuk PRU14 kelak.

“Kalau inilah penghormatan yang kita dapat, negeri pertama yang dilancarkan jentera pilihan raya, maka kita kena pegang kepada prinsip bahawa BN mesti menang,” katanya dalam ucapan sebelum mengiringi Najib melancarkan jentera pilihanraya BN di Ulu Yam hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu, rakyat Selangor sudah serik ditipu oleh pembangkang yang diterajui Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Cukuplah dua kali kita kena buli dan pembangkang tipu rakyat.

“(Rakyat Selangor) jangan ditipu buat kali ketiga, kita mesti menang dan yakinlah BN lebih baik dari PH yang memerintah pada hari ini,” katanya.

BN Selangor hari ini melancarkan jentera pilihan raya di peringkat negeri bagi menghadapi PRU-14 tidak lama lagi.

Dengan pelancaran jentera pilihanraya itu, Noh berkata, BN Selangor kini siap sedia untuk menghadapi kerajaan PH di Selangor, sekali gus merampas kembali tampuk pemerintahan negeri ini.

“Melihat sendiri persiapan yang kita sediakan, daripada laporan nampaknya semua jentera sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU 14 yang akan diumumkan pada bila-bila masa,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast