Home Ekonomi Pemilik Amazon individu paling kaya di dunia

Pemilik Amazon individu paling kaya di dunia

Jeff Bezos

PARIS – Pengasas Amazon, Jeff Bezos kini menjadi individu terkaya di dunia selepas mengatasi Bill Gates yang berada di tempat kedua, menurut majalah Forbes.

Dengan peningkatan 59 peratus saham Amazon sejak 12 bulan lalu, Bezos hampir menggandakan kekayaannya menjadi AS$120 bilion berbanding AS$90 bilion yang dimiliki Gates – jurang yang cukup besar.

Bill Gates

Kedudukan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump juga merosot di tangga ke-766 daripada 544 dengan kekayaannya kini dianggarkan AS$3.1 bilion, susut AS$400 juta kurang dari setahun yang lalu.

Pelabur lagenda, Warren Buffet mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga, diikuti taikun industri Perancis, Bernard Arnault yang menjadi individu keempat terkaya di dunia berbanding ke-11sebelum ini kerana pengukuhan euro berbanding dolar.

Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg berada di tempat kelima dalam senarai itu.

Dua hartawan China melonjakkan kedudukan mereka dalam kalangan 20 individu terkaya di dunia iaitu Ma Huateng, yang merupakan ketua pegawai eksekutif syarikat gergasi Internet, Tencent, juga orang terkaya di Asia dan 17 di dunia serta pengasas Alibab, Jack Ma.

Forbes berkata, sejumlah 2,208 golongan bilionaire di dunia dengan kombinasi kekayaan mereka berjumlah AS$9.1 trilion, melonjak sebanyak 18 peratus.

Amerika Syarikat memiliki paling banyak seramai 585 orang, diikuti 373 orang di China.

Senarai individu terkaya Forbes menyaksikan 259 orang muka baru termasuk bilionaire mata wang digital atau kripto buat kali pertama.

Forbes berkata, seramai 121 individu yang pernah tersenarai telah dikeluarkan termasuk 10 orang dari Arab Saudi. – MalaysiaGazette